Monday, February 25, 2008

Pagar rumah

Anak siapakah yang memandu Myvi hitam yang telah merodok pagar rumah ku? Khabarnya pagar rumah ku telah dilanggar orang. Seorang remaja lelaki berusia dalam lingkungan belasan tahun memandu Myvi hitam tidak dapat mengawal kereta yang dipandunya, telah menyebabkan kerosakan pada pagar rumah ku! Kenapa dia tidak dapat mengawal keretanya? Terdapat dua sebab! Pertama, dia memandu dalam pengaruh alkohol atau mabuk! Kedua, dia anak muda yang berkemungkinan belum mempunyai kepakaran memandu. Aku letakkan di sini, mungkin belum ada lesen memandu!

Siapakah yang harus dipersalahkan? Aku tidak menyalahkan pagar rumah ku yang berdiri tegak, bisu dan kaku itu. Aku juga tidak menyalahkan kereta hitam Myvi yang merodok pagar rumah ku itu. Apa lagi khabarnya belakang Myvi yang baru dibeli itu mengalami kecederaan parah!

Aku ingin menyalahkan penama-penama berikut:- Pertama, ibu bapa remaja ini atas alasan tidak tahu menjaga anak! Anak yang baru berumur belasan tahun dibiarkan memandu kereta tanpa lesen. Mereka juga membiarkan anaknya yang masih di bawah umur mengambil minuman keras. Ibu bapa yang perihatin sepatutnya berusaha untuk mempastikan anak-anak menjalani cara hidup yang sihat dan sempurna!

Kedua, jiran-tetangga keluarga remaja ini kerana menyediakan minuman keras kepada remaja-remaja bawah umur sehingga boleh menyebabkan kemudaratan kepada orang lain di sekitar kawasan perumahan.

Ketiga, pembuat dan peniaga minuman keras yang hanya tahu mengaut keuntungan! Minuman keras di Sarawak sangat mudah untuk diperolehi. Ia boleh dibeli dengan harga yang begitu murah di gerai-gerai atau kedai runcit! Anak-anak kecil pun boleh membelinya apa tah lagi remaja dan orang dewasa! Di manakah silapnya?

Keempat, penguatkuasa tempatan kerana tidak memantau dengan lebih rapi penjualan samsu haram di kedai-kedai runcit atau permis-permis persendirian! Kurangnya usaha membentras pembuatan dan penjualan bahan larangan ini, menyebabkan ia menjadi suatu ancaman kepada masyarakat di Sarawak terutama sekali golongan muda! Serbuan seharusnya diadakan dari masa ke semasa di kedai-kedai atau premis persendirian yang dikenal pasti menjalankan kegiatan membuat, mengedar atau menjual minuman keras tanpa lesen ini!

Masyarakat setempat juga harus memberi kerjasama yang sepatutnya untuk mengawal kegiatan pengambilan minuman beralkohol di kalangan remaja. Apa yang terjadi sekarang ialah, masyarakat setempat seolah-olah menggalakkan pengambilan minuman beralkohol ini. Jiran-jiran, golongan ibu, kaum bapa, anak-anak, kecil dan besar berkumpul seolah-olah sedang berpesta dengan bau minuman keras mengasak ke lubang hidung, asap rokok berkepul-kepul dan suasana ini lebih parah bila hujung minggu! Diselang-seli dengan nyanyian sumbang dari set karaoke, terhoyong-hayang, terkinja-kinja menari tanpa selari dengan irama! Jiran sebelah-menyebelah yang tidak mahu melibatkan diri, terpaksa mengeluh panjang dengan bunyi yang tidak bisa dihentikan. Siapa yang berani untuk menyergah kalau maki-hamun, dan libasan parang panjang menjadi ancaman?

Tuesday, February 19, 2008

Rebung masam

Hari ni, terlintas pula nak tulis cara-cara membuat rebung masam. Cara-caranya senang je. Dapatkan dua pucuk rebung muda. Bersihkan dan hiris halus-halus tapi jangan cincang! lepas tu, rendam dengan air basuhan beras. Tukar air basuhan beras setiap hari. Tunggu sehingga tiga atau empat hari atau sehingga rebung bertukar warna putih. Rebung masam ni, sedap masak lemak daging. Tak nak cuba ke?
Hiris nipis-nipis macam ni

Air beras

Rebung masam siap dimasak

Friday, February 15, 2008

Ski di Massachusetts





Minggu lepas, kita ramai-ramai pergi ke Massachusetts. Kita bawa anak-anak main ski.



Thursday, February 7, 2008

Orang kampung tegar

Aku orang kampung tegar! Kenapa aku tidak juga berubah? Kenapa aku harus mencari nasi lauk sambal belacan di antara kedai-kedai yang hanya menjual pizza dan salad? Kenapa harus aku makan nasi sebaik saja aku membuka mata? Haruskah aku makan dengan tangan sedangkan aku diajar menggunakan setiap satu susunan sudu, garpu dan pisau tepi pinggan? Kenapa aku masih teringat nak makan atas daun Simpol? Kenapa aku masih mengharapkan untuk makan nasi bungkus upih pinang walhal dua tiga kali aku berkursus makan di atas pinggan yang berlapikkan pinggan! Sebabnya hanya satu, aku orang kampung tegar yang tidak dapat dipulihkan!
Aku senang menjadi orang kampung tegar! Tidak ada siapa akan mengubah statusku sebagai orang kampung tegar! Aku orang kampung tegar yang lahir di kampung, membesar di kampung dan akan mati di kampung! Kerana aku sememangnya orang kampung tegar walaupun tidak pernah menolak permodenan dan pembangunan!