Wednesday, January 30, 2008

Dari ceruk dapur......

Pesanan: Gambar-gambar ni, kena lihat dari bawah ke atas........ Pizza yang tersisa
Roti inti sosej dah masak

Roti inti sosej sebelum dibakar
Roti inti manis (Mung bean)
Pizza dan roti inti manis
Tepi pizza yang berintikan cheese
Pizza cendawan dan cheese
Pizza sebelum dibakar
Macam ni le nak masukkan Mozarella cheese kat tepi pizza tu.
Bingka Ubi - Penat sagat yooooo
Ni, kuih kura-kura yang dah masak. Orang kata ni kuih Ang Koo.

Kuih kura-kura belum masak

Saturday, January 19, 2008

Oppege - Kugiran Salako

Tuesday, January 15, 2008

Oh katak....Oh Kodok.....

Teringat suatu masa dahulu.... ketika zaman hingusan, Meniti permatang sawah di celah-celah lumpur yang kehitaman warnanya. Berlari mengejar katak-katak kecil yang lompatannya tidak seberapa. Seekor dua sudah lama terkial-kial dengan kakinya terpiat ku simpan dalam beg plastik putih yang telah pudar warnanya. Maka ku teruskan lagi menghambat katak kecil di permatang sawah itu. Sesekali di kejauhan terdengar bunyi teriakan katak-katak kecil ini. Jangan dekat! Kalau itu bunyinya, jangan hampiri. Pasti katak kecil ini sedang bertarung nyawa dengan Ular Daun. Ular Daun yang panjang dan bersisik hijau itu gemar benar menjadi pesaing ku menangkap katak kecil ini.

Apabila saja beg plastik kusam di tangan sudah penuh katak kecil, aku berhenti memburunya. Aku bawa karung katak kecil tepi pegung. Tepi tali air inilah aku mengetuk seekor demi seekor kepala katak kecil. Kepalanya ku potong tanpa belas kasihan. Kulitnya yang licin dan lembap ku lapah bermula dari leher, terus ke hujung kakinya yang berselaput. Ku potong dan ku biarkan kulitnya hanyut bersama arus tali air. Tampak otot-otot yang putih dan pejal. Aku simpan atas daun simpol yang lebar dan hijau. Sedia untuk digoreng bersama belacan. Sudah selesai satu menu istimewa di pondok sawah tengahari itu.

Itu menu ku tiga puluh tahun dahulu. Aku tidak pernah mengeluh. Aku juga tidak pernah dengar emak mengeluh. Walau apa pun menu tengahari, emak tidak pernah mengeluh. Seringkali juga, aku dan emak tangkap belut-belut yang berumah di lumpur sawah. Badannya yang licin dan panjang bukan mudah untuk ditewaskan. Berkali-kali harus dilibas dengan parang bengkok. Selalu benar badannya putus dua. Badannya yang panjang, ku bawa ke dapur pondok sawah. Badannya harus dilurut dengan abu dapur kayu. Biar lendir dan sisiknya hilang. Kepalanya yang bermata kecil harus dibuang dan dibersihkan sebelum dipotong kecil-kecil untuk digoreng garing. Tiada tulang halus yang tersisa! Sambal belacan dan keladi bunting yang dicelur cukup menyelerakan. Hidangan yang disertakan dengan nasi bungkus upih pinang jarang benar tersisa.

Aku tidak pernah cuba memadamkan kenangan ini. Malahan kenangan ini menjadi semakin indah ketika aku terlontar jauh di perantauan. Apabila aku kembali kelak, aku ingin makan nasi bungkus daun Simpol dan Nasi bungkus upih pinang. Lauk masak lemak daun ubi yang ditumbuk lumat bersama ikan puyu bakar dan sambal belacan. Barangkali katak kecil dan belut berbadan licin sudah tidak ada lagi......... Barangkali, sawah itu dulu sudah menjadi hutan belantara. Tidak mustahil jika tali air berpegung kayu belian sudah kering-kontang kerana tiga puluh tahun masa berlalu telah mengubah aku menjadi dewasa dan perasa........

Wednesday, January 9, 2008

Mimpi semalam....

Semalam aku bermimpi. Mimpi yang tidak semestinya indah. Aku bermimpi berada di sebuah sekolah. Sebuah sekolah yang berdinding dan berlantaikan papan. Tiangnya kayu Belian. Dindingnnya sudah uzur benar. Terdapat gigitan anai-anai di celah-celah dinding yang robek. Tampak bentangan sawah padi yang luas di luar. Daun padi yang menghijau, terliuk-lentok bila dipuput angin. Padi itu belum bunting. Lalu, di kejauhan sederet gunung menjadi pencakar langit kelihatan. Sedikit awan putih berarak perlahan menyerlahkan keindahannya.

Mimpi ku semalam, dalam bilik pembelajaran yang sempit, duduk empat puluh orang anak-anak kecil. Penuh semangat dan tekad. Berhimpit-himpit duduk dalam barisan atas lantai yang beralaskan tikar getah. Tikar getah yang telah robek sedikit. Sisinya juga sudah tidak lurus. Nampak benar ia sudah bertahun di situ. Tapi, cukup untuk menutupi lantai yang sedikit jarang dan usang.

Di bilik sempit itu juga, beberapa meja digabungkan untuk menjadikan tiga buah tempat duduk. Tiga kumpulan semuanya. Meja kumpulan kiri dan kanan, memanjang ke hadapan. Kumpulan tengah pula, agak pendek. Barangkali untuk memberikan ruang duduk di lantai. Bilik itu kelihatan semakin sesak apabila beg-beg yang sarat dan padat dengan buku, diletakkan di setiap kerusi. Kerusi yang sememangnya kecil dan agak sedikit goyang kerana sudah menampung beberapa genarasi.

Hiruk-pikuk suara kanak-kanak seramai empat puluh orang itu, menenggelamkan suara gurunya. Seorang wanita lewat dua puluhan. Lama guru muda itu membatu. Barang kali menarik nafas panjang-panjang menahan darah muda yang mengelegak menahan amarah. Tiga minit, lima minit, enam minit, hiruk pikuk kanak-kanak itu tidak juga reda. Aku terkejut, guru muda yang berkulit kuning langsat itu bertempik...... Aku terjaga dari tidur......Barang kali, kanak-kanak dalam bilik usang itu juga terjaga dan sepi berkubang di mana-mana....... Aku melihat jam di atas meja, jam 2.20 petang......Lalu ku lihat di luar, tiada sawah padi dan tiada juga gunung yang dipagari awan. Apa yang ada hanya hutan batu yang kelabu dan pejal..... Lalu, rinduku berkampung lagi untuk kesekian kalinya......