Friday, June 29, 2007

Chelsea Piers

hukkk.......
Hari ni buang masa hampir separuh hari gara-gara birthday party kawan anak dara aku.... Dah musim cuti macam ni, tak payah le gi mana-mana, buat kenduri apa-apa....Tak kisah le birthday ke, bersunat ke...(omputeh ada besunat ke?) nikah ke....duduk kat rumah je 'kan baik.....

Tapi, kalau tak hantar dia, nanti merajuk pulak. Lagi pun, Chelsea Piers tempat budak tu buat party bukannya jauh sangat. Kat West, ujung jalan 23 street ni je. Tapi, dah kerana aku memang malas jalan- jalan, aku tak tau di mana tempatnya Chelsea Piers tu..... Party dia tu pun bukan ada apa... main bowling, makan snack, minum jus epal..., tu je lah biasanya.

Sebenarnya tak elok jugak asyik berperap dalam rumah macam aku ni. Kan hari ni dah mengelabah baca peta dalam invitation card tu! Nak senang, aku tangkap teksi je. Aku bukan suka sangat naik teksi kat Manhattan ni. Driver teksi kat sini bawa teksi macam orang
rodeo je. Dah tu pula, walaupun tempat tu dekat, tak kurang 45 minit duduk dalam teksi tu. Kalau jalanraya hutan batu ni sesak, nafas aku lagi sesak .....Tambah-tambah lagi bila kena bayar tambang teksi $12.50, Agaknya sampai juga le RM40.

Nasib baik le pakcik teksi ni tau tempat tu. Demi anak ni 'kan, selalu sangat aku tahan nafas lama-lama sebelum aku hembuskan perlahan-lahan. Jangan le suatu hari nanti tengkorok aku terseliuh sebab asyik tahan nafas panjang dek kerenah anak-anak ni. Manalah tahu, tetiba je laki aku jadi duda awal.....tambahan pula tak lama lagi birthday dia yang ke 40 akan tiba...... huhuhuhu mesti le meriah dia.......

Dah tu pula, aku kena tunggu dia birthday sampai jam 12 tengahari. Sesambil tu, aku merayau le di sekitar kawasan tu. Tengok orang ice skating. Seronok pula. Lama aku duduk kat tepi kolam orang buat ice skating tu. Sampai menggigil kesejukan baru aku tinggalkan tempat tu.....Aku janji pada diri aku sendiri, sebelum balik Malaysia, aku nak bawa anak-anak main ice skating kat bahagian ni pula.......

Sebelum jam 12.00 tengahari aku dah jemput anak dara aku. Dah hai...hai... kat kawan-kawan dan mak kawan birthday girl tu, aku pun cepat-cepat panjangkan langkah meninggalkan tempat tu. Bukan apa, bimbang anak-anak aku merayu nak pergi bahagian lain pula..... Dah le dompet aku dah kempis, ikan kat rumah pun dah habis.

Terpaksalah aku bawa anak-anak naik train no.6 menuju ke China town. Dah tengahari macam ni, ikan-ikan di kedai Apong pun dah hampir habis dijual. Apong pun macam tak ada mood aje jual ikan hari ni. Bila jumpa Apong ni 'kan, aku rasa macam beli ikan di pasar gambir kat Kuching je... Maklum je le.... dia merantau jauh dari Ipoh ke New York untuk cari rezeki. Tapi, Apong ni le tolong aku pilih ikan mana yang sedap, mana yang tak sedap. kekadang tu, siap dia beri resepi macam mana nak masak ikan tu.....kira terhutang budi juga le dengan Apong ni.....sebab dia baik!

Bila sampai di rumah je, jam dah menunjukkan pukul 3.30 petang. Huh....lebih menyeksakan apabila terlihat timbunan kain baju yang belum berlipat sejak semalam........aku biarkan saja. Aku tidur dulu, untuk hilangkan penat barang seketika......

Monday, June 25, 2007

Isteri yang macam mana?

Anda tetap seorang isteri yang unggul jika.....
1. Suami anda tidak pernah kebuluran.
2. Tetap cuci pinggan-mangkuk walaupun jam 12 malam
3. tak pernah merungut walaupun suami kerah macam buruh paksa
4. berjuang bermati-matian menghadkan perbelanjaan keluarga
5. Sentiasa tahan nafas panjang bila tengok iklan jualan mega
6. tiada sebutir habuk pun hinggap di perabot rumah
7. sentiasa pastikan suami depositkan belanja untuk ibu mertua tiap bulan.
8. Peluk cium suami sebelum dan selepas dia pergi kerja
9. tak pernah tinggikan frekuansi suara depan suami
10. tak pernah paksa suami tukarkan T-shirt Pagoda yang telah menjadi uniform isteri tidak rasmi di rumah walaupun sedikit terkoyak ketiaknya........(rujuk enrti usia 40)

Saturday, June 23, 2007

Suami dan anda.......

Sayangkah suami anda jika dia...........
1. Sentiasa mengantuk apabila berada di rumah....
2.Sibuk di pejabat sepanjang masa......
3.Tidak pernah berusaha untuk pulang awal dari tempat kerja.....
4. Lupa atau buat-buat lupa tarikh lahir anda.....
5. Marah bila anda nak manja-manja....
6. kata kita tak faham semua hal kerja dia.....
7. lebih mementingkan hal boss dia daripada kita dan anak-anak...
8.masih ingat fakta-fakta negatif yang pernah kita cakap kat dia 10 tahun yang lalu......
9. Tak suka pegang tangan kita masa jenjalan....
10. Buat tak tahu walaupun anda mengadu sakit.......

Thursday, June 21, 2007

Ulangtahun....

Selamat Ulang Tahun!
Jangan menangis.
Hari ini kau tua setahun lagi.
Nafas yang tersisa,
kudrat yang semakin lemah,
tubuh yang semakin seksa,
itu sisa-sisa hidup namanya.
Apa esok masih ada?
Apa esok ada bahagia?
Apa esok kau bisa tertawa?
Apa esok kau akan sihat?
Apa esok masih ada nafas yang tersisa?
Apa esok kau akan mati?
Apa esok mereka akan mentertawakan mu?
Apa esok milik kamu?
Kenapa kau harus persoalkan tentang esok?
Apa esok menjanjikan suatu kehidupan buat mu?
Apa esok itu pasti ada?
Jangan berangan.
Jangan menaruh harapan!
Jangan lupa kalau malam ini
kau bisa sudah tidak bernafas lagi!
jadilah hari ini
hari ulang tahun mu yang terakhir kali!
sebelum terlewat,
selamat ulang tahun buatmu!

Wednesday, June 20, 2007

Email mak bapak budak......

Dear All:Sorry that I missed this msg last night,but better late than never,I fwd it to you now. Btw,Annie is leaving tmr morning for vocation in China,so, we wish each and everyone in our class,Have a great summer,
Lin and Entisar
^_^

Dear Junior School parents:A gift - a framed collage of photos of all our children, will bepresented to Ms.Porter on behalf of all the Junior School families atthe J3 Lobby Concert at approximately 8:45 am.This gift was conceived and supported by a small group of JuniorSchool parents.
Regards,
Sefa (Devin's mom, J10)

Subject:thanks to the class parents!
Date:Wed, 20 Jun 2007 09:06:49 -0400

Dear Lin and Entisar -Thanks SO MUCH to the both of you for being such stellar class parents. Thefruits of your hard work and dedication were more than evident in thechildren's costumes and performance, and the wonderful brunch, last week.Many thanks and have a great summer everyone!
Anne Marie

Subject:R: thanks to the class parents!
Date:Wed, 20 Jun 2007 15:11:00 +0200
Thank you also from our family. Great job!!!

Alessandra (Simon's mom)

Andai aku balik ke Malaysia kelak, adakah PIBG sekolah akan seperti ini juga? Penuh komitment dan berkorban jiwa raga, masa dan tenaga demi untuk anak-anak........

Tuesday, June 19, 2007

Pergi sekolah.....



Suku Saka Zulu ni........
Awan kelabu seperti memberikan amaran keras pagi ini. Barangkali hujan tidak akan turun. Hanya kencangnya angin, meraba seluruh tubuh barang siapa yang tega merempuhnya. Dingin dan keras. Tapi, dinginnya tidak mematikan, seperti mana dingin angin di bulan Januari. Tapi, ia tetap dingin. Dingin yang menggigit kulit walaupun tidak sampai ke tulang kering!
"its cold, mom." Bujang montel ku sudah bersungut.

"No....its cool," Kakaknya membalas. Memang tidak pernah mengalah walau dalam apa keadaan sekalipun! Kekadang bingung aku dibuatnya.

Aku percepatkan langkah agar mereka cepat sampai ke pintu pagar sekolah. Nasib baiklah sekolah hanya beberapa depa sahaja dari apartment kami.

Sepanjang pagi semalam, aku menghambakan diri di sekolah mereka untuk menyaksikan show si kakak. Hebat pertunjukan yang mereka persembahkan. Memang aku tabik dengan kehebatan guru-guru yang mengajar di sekolah ini. Tambahan pula, segala kelengkapannya ada. Tapi, aku juga begitu terpukau dengan kerjasama dan sokongan para ibu bapa yang tidak pernah luntur. Bermula di awal persekolahan sehingga saat akhir sebegini, komitment ibu bapa tetap seperti biasa. Alangkah baiknya kalau di Malaysia juga seperti ini.

Aku pernah menghadiri mesyuarat PIBG di sebuah sekolah di Malaysia beberapa tahun yang lalu. Dalam mesyuarat itu, banyak perkara-perkara yang dibangkitkan hanya untuk mencari kesalahan guru! Seolah-olah segala kesalahan itu berpunca daripada guru! Kesian cikgu-cikgu tu! Daripada masalah disiplin, ponteng sekolah, masalah kerja rumah, masalah bully, masalah curi-mencuri, masalah segala masalah, semuanya disandarkan terus kepada guru! Bila cikgu tu cuba mempertahankan diri, mesyuarat tu bertukar wajah seperti sebuah mahkamah pula, walaupun aku hanya pernah menyaksikan perbicaraan mahkamah dalam drama TV sahaja!

Aku bukannya apa, cuma aku hairan kenapa ibu bapa dan guru ni tak dapat nak bekerjasama untuk menangani sebarang masalah yang timbul. Aku kadang-kadang terfikir, kenapa cikgu-cikgu di Malaysia terlampau rasa terbeban? Sedangkan, di sini cikgunya rilek je. Sudahlah murid hanya 20 orang. Ada pembantu guru lagi!


Aku terfikir juga, kenapa di Malaysia cikgu tidak ada pembantu? Jururawat je yang ada pembantu. Jururawat pula jadi pembantu doktor...... Kan elok kalau cikgu pun ada pembantu! Dapatlah murid-murid peluang yang sama rata nak manja-manja dengan cikgu!

Ni, dahlah satu kelas sampai 45 orang, cikgu kena mengajar sambil tu menjadi pengawal keselamatan lagi. Lainlah kalau cikgu tu ada mata di merata tempat. Bolehlah juga tengok siapa yang ganggu murid lain. Dah tu pula, sambil-sambil mengajar, ada juga murid-murid ni yang buat bising, semata-mata untuk menarik perhatian cikgu. Jadi, untuk mententeramkan suasana, mengaumlah cikgu, kan...... Silap-silap hari bulan, pemadam papan tulis pun melayang. Cikgu juga yang dipersalahkan. Aku rasa, dalam hal sebegini, tak sepatutnya warga pendidik ini diberi penghakiman yang sebegitu drastik!

Kalau semua murid dalam sesebuah kelas tu cuma 20 orang, lebih mudah untuk cikgu mengawalnya. Ditambah pula kalau ada guru pembantu, seorang mengawal kelas, seorang lagi mengajar. Jadi, semua murid akan menumpukan sepenuh perhatian kepada pelajaran yang diajarkan. Tak adalah agaknya timbul kes-kes murid kena ketuk dengan kasut atau kena penampar Jepun! Sebab semuanya dalam keadaan terkawal.

Uhhhhh...satu lagi. Masalah beg berat murid-murid di Malaysia. Ada buku teks ilmu Hisap yang kemudiannya ditukar tajuk menjadi Matematik. tersangatlah tebalnya. Dah tu, ada dua buah pula. Satu buku teks, satu lagi buku kerja. Dua-dua tebal yang amat sangat. Buku Bahasa Malaysia pun dua buah juga! Puntebal juga. Ni tak ditambah dengan buku-buku teks dan buku kerja yang lain.... memang membebankan!

Sepanjang anak-anak aku bersekolah di sekolah Mat Salleh ni, tak pernah aku mendengar anak-anak mengadu hal beg berat! Aku pun tak pernah sibuk nak menimbang beg-beg mereka. Memang tak berat. Ada sebuah fail dan sebuah lunch box saja dalam beg mereka. Dalam fail mereka itulah tersimpannya semua kerja sekolah. Kerja sekolah mereka tu semuanya dalam bentuk kertas-kertas nipis. Patutlah tak berat! Apabila sesuatu topik pembelajaran dah habis diajarkan, sebuah fail berisi hasil kerja anak-anak menyusul tiba untuk disimpan di rumah. Pandai-pandailah emak bapa menyimpannya sebagai rujukan di kemudian hari. Senang 'kan?

Dulu, aku ingatkan mereka tidak menggunakan buku teks. Apabila menghadiri morning coffee bersama ibu bapa dan guru kelas yang diadakan sebulan sekali, aku terpana juga apabila pelbagai buku teks dan buku bacaan tersusun di setiap sudut kelas. kalau dibawa pulang pun, bukannya dibaca, ye tak ? Buat semak je! Ni, ikut pengalaman aku le.....
Beg sekolah anak aku ni..... Kita kat negara orang ni, kena sematkan rasa bangga dalam sanubari anak-anak menjadi rakyat Malaysia!

Sunday, June 17, 2007

Selamat hari Bapa taukeh Lada........

Sana sini orang sibuk kata hari ini hari bapa. Anak-anak aku pun sibuk sakan sejak Isnin lalu tentang tanggal 17 Jun 2007 ni. Kata mereka hari Ahad ni hari bapa. Aku, biasa-biasa je. Tak sibuk pun. Lagi pun bapa aku di kampung. Tak pernah satu hari pun dia tinggalkan hari bapa, sebab setiap hari memang dia bapa pada enam orang anaknya. Oleh kerana itu, setiap hari dia menyambut hari bapa sejak tahun 1962, bila mana kakak ku yang sulung dilahirkan......Aku je tak pernah ucapkan hari bapa. Mana larat hari-hari nak ucapkan Selamat Hari bapa! Dia pun tentu bosan kalau aku ungkapkan ayat yang sama setiap hari..... Tapi, tahun ni, aku nak tulis juga le......kali pertamanya aku nak tulis ungkapan "Selamat Hari Bapa untuk taukeh lada, bapaku yang tersayang....Mmmmmmmmmmmuuuuuuuuuuah!" Tapi, aku pasti, bapa tak akan baca blog aku ni pun.....Mata dia pun dah rabun walaupun tenaganya masih boleh pikul junjung lada yang dibuat daripada pokok belian.

Seperti kebanyakan orang, aku juga punya banyak kenangan bersama bapa aku. Salah satunya, masa dia pergi bersihkan lada yang telah direndam di sungai. Menggunakan keringat yang ada, bapa akan bergotong-royong memetik buah-buah lada yang masak dengan emak aku. Di pinggang masing-masing diikat dua buah bakul, satu untuk lada gred A dan satu lagi gred B. Lada gred A ni, biasanya lada yang akan dijadikan lada putih manakala lada gred B pula untuk dijadikan lada hitam.

Sesampai di rumah, lada-lada gred A ini akan di masukkan ke dalam guni jut. biasanya proses mengumpulkan lada-lada ini memakan 3 hingga ke 4 hari baru penuh. Sebaik saha guni jut ini penuh, bapa akan menjahitnya lalu dengan segala kekuatan beliau akan memikulnya menuju arah sungai. Guni lada ni tadipun dicampakkan ke dalam lubuk sungai. Untuk mengelakkan ia dihanyutkan oleh arus sungai, guni-guni lada ini akan diikatkan pada pohok-pokok yang tumbuh subur di tebing-tebing sungai.

Proses merendam lada ini mengambil masa 5 atau 6 hari barulah proses mencuci bermula. Lada-lada ini tadi akan dituangkan ke dalam sebuah raga besar. Kulit-kulit lada tadi pun dah reput dan tinggallah butiran biji lada sahaja di dalam raga. Semasa proses membersihkannya ini, air sungai bertukar warna. Warna dan baunya pun tentulah semacam je. Tapi, masa ni le yang paling best sangat. Aku dan adik aku akan berpesta dalam air yang dah bertukar warna tu! Masa tu, aku tak tau pula air tu tercemar! Apa yang pasti aku dan adik, gembira sangat apabila bapa tak nampak sebab menyelam dalam air lada busuk.

Dah tu, apabila semua tangkai lada ni dibuang, tinggallah biji lada yang putih kemerah-merahan di dalam raga. Pernah juga aku tanya bapa, kenapa tangkai laga tu tak dibuang dalam tong sampah. Dia kata, biarlah....ikan-ikan dan kura-kura nak buat rumah dengannya. hehehhe lojik jugak 'kan.... Kadang-kadang bapa bawa tangkai-tangkai lada tu pulang. Dijemur sehingga kering lalu diletakkan dalam kotak kayu untuk ayam dan itik bertelur. Uh....jadi tilam pun boleh juga rupanya tangkai lada ni.....Tapi, kalau nak buat tilam untuk pengantin baru, tak bolehlah rasanya sebab keras!

Untuk lada hitam, bapa akan menjemurnya sehingga kering dan bertukar menjadi hitam. Untuk meleraikan biji dari tangkainya, kami akan bergotong-royong mengiriknya. Lada-lada ni tadi pun dijemurlah sehingga kering sebelum dipasarkan. Hasil jualan lada ni le bapa aku beli segala-galanya untuk menampung kehidupan kami sekeluarga! Selain dari tu, bapa pakar buat rumah orang. Buah lada ni bermusim. Hasilnya hanya akan dikutip 2 kali setahun. Semasa menunggu lada masak, bapa aku buat kerja-kerja bertukang sebagai kerja sampingan. Aku cukup bangga apabila melihat rumah-rumah papan yang dibuat oleh bapa di kampung-kampung berdekatan. Bagi ku, kerja tangannya cukup halus, teliti dan bermutu!

Aku tahu, bapa berusaha gigih untuk membesarkan kami enam beradik. Aku bersyukur, dalam jerih-payah kehidupan yang dilaluinya, bapa berjaya memberikan kehidupan yang sempurna pada kami. Bapa cukup tegas dalam mendidik anak-anak. Bapa aku memang mempunyai bakat kepimpinan! Aku nak ucapkan tahniah pada bapa aku sebab berjaya menjadi seorang bapa! Selamat hari bapa juga untuk semua pembaca blog Merakemas.......Bagi mereka yang belum menjadi bapa, jadikanlah diri anda sebagai bapa secepat yang mungkin
.

Thursday, June 14, 2007

Burung dan lada putih/sulah

Puhhhh berpeluh aku apabila menjemput anak-anak dari sekolah hari ini. Walau pun tak sampai sesak nafas, kelam kabut juga rasanya aku apabila diminta oleh si Bujang Montel ku memikul seekor burung! Bayangkanlah, sebelum pergi ke sekolah, hampir setengah jam aku belek-belek wajah depan cermin, sapu bedak rata-rata, tambah gincu seadanya, tiba-tiba sampai di sekolah kena pikul burung! Ditambah lagi susuk tubuh yang sedang menuju ke arah generasi 3G ni, alahai, segannya eh....Tapi, apa boleh buat, demi anaklah katakan biarlah berkorban. Dari melihat dia bersedih, elok relakan saja memikul burung dia ni. Jadi, aku pikullah burung tu.......Aku mama yang baik, kan?



Inilah burung yang aku pikul tu. Ada nampak macam burung ke?







Ini pula, sarang dan telur burung tu. Sejak bila pula burung ni pandai buat sarang dalam bekas plastik?





Sampai saja di tingkat 16, aku belek-belek juga burung tu. Walau pun tak secantik mana, aku tahu dia cukup bangga dapat buat burung tu. Kalau dibandingkan dengan umurnya yang belum lagi sampai 7 tahun, bangga juga aku dengan hasil kerja tangannya. Siap dengan sarangnya lagi tu! Ada telur lagi....Ada ke telur burung warna hijau? Sabar je le......

Sewaktu aku kecil lebih kurang 30 tahun yang lalu, aku memang sering kali mengikut abang aku memikat burung. Maklum sajalah, orang kampung macam aku, segala jenis unggas, adalah sebahagian dari hidup aku. Balik saja dari sekolah, campak beg, tukar uniform, makan nasi berlauk pucuk ubi masak lemak dan ikan kering, terus pergi ke kebun. Kebun tu bukan sebarang kebun. Kebun lada bapa aku! Di sana bermulalah aktiviti mengendap burung ni.
Abang aku, memang pakar dalam proses memikat burung ni. Berbekalkan lidi dan getah terap, dalam beberapa jam saja, dapatlah tiga atau empat ekor burung. Kadang-kadang kalau nasib baik, dapat pula burung punai. Abang aku ni juga, memang juara lastik burung. Kalau tak patah kaki, mesti ada saja burung yang tercabut bulu kena batu lastiknya! Hebat kan.... Tapi, kekadang tu ada juga lah kena kentut dek burung-burung tu!

Bapa memang suka sangat kalau kami dapat musnahkan burung-burung tu. Bapa benci sangat burung-burung tu. Maklum sajalah, burung tu suka curi lada yang sedang ranum di dahannya. Habis biji-biji lada tu ditelan dek burung-burung ni. Kalau dapat burung-burung tu, kami akan lapah dan bersihkan sebelum kami bawa pulang untuk digoreng dengan belacan! Fulamak...sedapnya!
Mungkin ramai yang tidak tahu, lada sulah yang dipasarkan di kedai-kedai atau di pasaraya tu, sebahagiannya adalah tahi burung! Jangan terkejut atau buat-buat terperanjat! Burung-burung ni, biasanya suka makan biji-biji lada yang telah masak dan berwarna merah menyerlah. Biji-biji lada ni, tidak akan dihadamkan sepenuhnya dalam perut burung tu. Hanya kulit biji lada ini sahaja yang tercerna. Biji-biji lada yang berwarna putih bersih akan dikeluarkan semula oleh burung-burung ini tadi bersama najisnya yang lain. Itulah tahi burung! (Lada putih yang terhasil dari proses pemakanan burung!
Sambil menunggu jerat mengena, aku dan abang selalunya ditugaskan oleh bapa untuk mengutip lada putih ni dari bawah pepohon lada yang menjadi tandas burung-burung tu. Kami kutip satu persatu dengan penuh kesabaran kerana biji lada tu licin, bulat dan berbutir halus seperti mutiara! Tak sampai 2 mm garispusatnya! Pun begitu, sepetang kadang-kadang sampai bergantang tahi burung kami kutip! Walau bagaimanapun anda tidak perlu risau, sebahagian besar lada putih tu dihasilkan dengan proses yang bersih, suci dan bermutu! Malahan, prosesnya adalah rumit dan memenatkan!

Wednesday, June 13, 2007

Hidup miskin

Semua orang tahu, hidup miskin itu tidak mudah. Apa sebenarnya miskin? Hampir semua manusia di dunia ini mempunyai difinasi yang sama tentang kemiskinan. Ramai yang menilai kemiskinan dengan jumlah harta yang terkumpul. Tidak kurang pula mendifinasikan miskin itu ialah nilai kehidupan yang tidak lengkap baik dari segi harta-benda, ilmu dan nilai kemanusiaan itu sendiri.
Aku sendiri tidak pernah mengerti apa itu miskin yang sebenarnya. Aku mengintai kemiskinan itu sentiasa berhubung kait, bertali arus laksana sebatang sungai yang mengalir. Deras atau lesunya arus kemiskinan itu, berhubung kait pula dengan puing-puing yang terlantar di dasar kehidupan. Puing yang menjadi teras pada kemiskinan itu bagi ku adalah sikap kita sendiri.
Barangkali kemiskinan itu adalah warisan. Barangkali juga kemiskinan itu adalah sumpahan. Mungkin juga kemiskinan itu adalah hukum alam. Tapi, kita dilahirkan untuk memperjuangkan hidup ini untuk tidak terus hidup miskin! Semua manusia berhak hidup kaya. Semua manusia berhak memperjuangkan kehidupan masing-masing. Semua manusia berhak meluruskan nilai kehidupan keturunan sendiri agar tidak menjadi hamba kemiskinan!
Tidak ramai manusia menjadikan aset kemiskinan sebagai ruang untuk memperbaiki diri. Tidak semua manusia yang hidup miskin itu menjadikan kemiskinan itu sebagai batu loncatan untuk mengeraskan hati, mewajakan semangat agar tidak terus hidup miskin! Berapa orang sangatlah manusia miskin yang memandang kemiskinan itu sesuatu yang positif. Barangkali tidak ada! Siapa yang mahu hidup miskin? Orang gilapun kalau dia tahu dia gila, tidak mahu gila! Tapi, dia tidak tahu dirinya gila! Apa lagi orang miskin. Orang miskin yang sedar dirinya miskin tentu sekali tidak mahu hidup miskin! Kerana kemiskinan itu meranapkan kehidupan! Jadi, bangkitkanlah amarah yang berapi-api terhadap kemiskinan! Perjuangkan hidup, agar harapan terus bercahaya. Walaupun tidak kaya sekurang-kurangnya tidak dihimpit oleh dinginnya kemiskinan.

Monday, June 11, 2007

Gambir Sarawak

Hari ni, sepatutnya aku sibuk menyelesaikan kerja-kerja di pejabat yang telah tertunggak sebab cuti hujung minggu. Kerja di pejabat aku ni bukan susah sangat. Lagipun, kuali aku yang dah bertukar warna dulu tu, aku dah masukkan dalam self cleaning oven! Dah putih semula! heheheh. Aku suka sangat sebab adanya oven ni kat pejabat aku. Sempat juga le aku buat lawatan dari blog ke blog. Aku buat lawatan biasa sahaja. Menghiburkan hati yang lara sewaktu diulit sunyi.

Kuali ku yang sudah bersinar semula. Untuk makluman, kuali aku ni sudah seusia dengan perkahwinanku! Perjalanannya juga sudah jauh, dari Sarawak ke Kuala Lumpur,kembali semula ke Sarawak dan terus ke US.

Dalam banyak-banyak blog yang aku lawati, hati kecil ku terus berdetak bila terbaca persoalan 'Gambir Sarawak' dalam tag board DBI! Sebagai orang Sarawak, Bumi Kenyalang (tapi sebenarnya Bumi Manusia - Kenyalang dah hampir pupus) tentulah aku begitu teruja untuk membacanya! Heheheh.

Dengan perasaan malu-malu, tergambar di mata ku Awang Leman duduk santai di kaki lima Jalan Gambir di Kuching tu! Sesuai dengan namanya, di situlah gambir-gambir Sarawak yang cukup power ini banyak dijual. Memandangkan tempat itu tumpuan pejalan kaki, pelbagai bangsa, saiz, dan rupa, maka amat sesuailah awang-awang ini berniaga gambir Sarawak di situ. Sejauh mana larisnya perniagaan mereka, tak pernah pula aku tanya. Aku ke situ pun bukannya nak beli gambir Sarawak, tapi nak beli sayur dan ikan yang kebetulan dijual di pasar Gambir!

Aku memang mengakui kemasyhuran Gambir Sarawak ni, terutama sekali di kalangan orang-orang Malaya.( Sorry ye) Masa aku sekolah dulu, pernah juga le aku jadi pemandu arah cikgu-cikgu aku yang berhajat hendak membeli gambir Sarawak ni, terutama sekali apabila tiba musim cuti. Masa tu, aku memang tak tahu kenapa mereka beria-ia dan bersusah-payah mencari dan membeli kulit dan serpihan kayu ini. Aku cuma tahu, di daerah aku, orang-orang tua akan mencampurkan serbuk gambir ke dalam sirih pinang yang hendak dimakannya! Kenapa mereka makan gambir bersama sirih dan pinang, aku tidak pasti. Kemungkinan mereka hendak mempelbagaikan keenakan semasa proses mengunyahnya!

Apabila aku melangkah ke alam dewasa, aku mulalah mendengar ceramah-ceramah tidak rasmi dari rakan-taulan mengenai kehebatan gambir Sarawak ini. Kehebatannya menambah power seorang lelaki, menyebabkan ramai orang tergila-gila dengan hasil hutan ini. Lagipun, prosesnya senang sahaja. Cuma perlu disapukan sahaja! Betul atau tidak, hanya orang-orang yang pernah menggunakannya sahaja yang tahu.

Apa yang peliknya, orang-orang Sarawak tak hairan sangat dengan kulit dan serpihan kayu ini! Mungkinkah orang-orang Sarawak ini sudah power dan tak memerlukan gambir lagi? Aku pun tidak pasti............. heheheh

Saturday, June 9, 2007

Hari pertama persekolahan ku

Musim tengkujuh, awal Januari 1977, kali pertama aku menjejakkan kaki ke alam persekolahan. Sebatang pensel, sebuah buku nipis yang waktu itu hanya berharga 5 sen sebuah. Di kulit belakangnya tercetak huruf-huruf Jawi, tulisan huruf Roman dan angka 0 hingga 9. Semuanya aku letakkan dalam beg plastik! Beg plastik tu, aku perolehi dari celah-celah tempayan beras emak! Mana ada beg lain. Itulah beg yang paling cantik yang boleh aku jumpa pada masa tu. Bagi aku, pergi ke sekolah lebih penting dari penampilan diri.

Hari pertama aku ke sekolah, bapa ikat rambut aku. Terima kasih pak! Aku rasa, akulah manusia yang paling cantik pagi tu! Maklum sajalah, seingat ku, inilah baju terbaru yang pernah aku pakai. Uniform biru yang longgar dan panjang! Tak ada kasut putih! Aku cuma ada sepasang selipar Jepun biru yang sudah kusam. Itupun, selipar abang aku yang telah dibaik pulih! Nampak sedikit dawai halus yang menyambungkan talinya yang sudah putus. Tapi, aku tidak peduli. Itu semua tidak penting bagiku! Apa yang penting, aku harus bersekolah dengan harapan aku akan menjadi seorang doktor seperti mana yang emak selalu bisikkan pada ku!

Walaupun tidak pernah bersekolah tadika, aku bertuah kerana aku telah berguru dengan abang dan kakak ku sebelum itu. Oleh kerana itu, tidak ada masalah bagiku untuk membaca A hingga Z di hadapan kelas pada hari pertama. Ini menambah keyakinan diri ku! Aku juga berasa seolah-olah akulah murid yang paling bijak dan pintar masa tu! Hehehehe sekurang-kurangnya aku telah menguasai huruf A hingga Z. Tambahan pula, aku tak menangis macam budak-budak lain! Semua murid diberikan kad Manila bertali panjang! Di atasnya tertulis nama masing-masing. Kad Manila ini mesti dikalungkan di leher sepanjang hari. Itulah name tag pertama aku. Semuanya masih segar dalam ingatan walaupun telah 30 tahun berlalu!



Thursday, June 7, 2007

Sekolah

Semalam, buru-buru aku sudahkan kerja di pejabat aku......Maklum sajalah, jadi dapur officer ni bukan semudah yang disangkakan. Periuk- belanga yang tunggang terbalik, aku sental ala kadar saja. Pinggan-mangkuk lepas makan mee segera yang dibeli dari Asia market kat Chinatown tu, aku sumbat aje dalam dish washer..... Nasib baiklah ada benda ajaib ni, kalau tidak semakin singkatlah masa aku nak mengadap PC, buah hati aku tu. Terhadlah waktu aku melompat dari blog ke blog seperti lazimnya yang aku lakukan sejak akhir-akhir ni......heheheh...

Aku hampir lupa, si bujang montel aku, hari ni ada buat show kat sekolah dia. Ni, kena pergilah juga....maklum sajalah, untuk mengelakkan dicap sebagai mama harimau yang tidak perihatin, elok sangatlah pergi jengukkan muka. Tambahan pula, bolehlah buat sokongan moral untuk dia......sibujang montel yang tersayang.

Skrip dia dah hafal sebulan yang lalu. Walaupun hanya setakat sebaris ayat saja, dia dah cukup bangga dapat menghafalnya. Aku pun tak lah risau sangat dengan dia ni.

Cerita sekolah kat sini, anak-anak aku memang suka sangat! Mana tidaknya, masuk sekolah mulai jam 8.30 pagi, balik pula jam 2.50 petang. Bolehlah bangun jam 8.00. Sempat lagi ambil "sweet time". Sebenarnya aku ni tak berniat langsung nak jadi mama harimau. Tapi, dalam keadaan terdesak, aku terpaksa mengaum juga.....

Sekolah kat sini memanglah jauh berbeza dengan sekolah kat tanahair aku yang tercinta tu. Kat sini, cikgu cakap pun bisik-bisik je. Yang peliknya, anak-anak ni dengar pula! Ya lah...... muridnya dalam satu kelas cuma 20 orang. Kalau kat tanahairku yang tercinta tu, satu kelas paling sikit 48 orang! Cikgu guna pembesar suara pun murid buat pekak . Aku pun hairan!

Selama aku hantar anak-anak aku sekolah kat sini, tak pernah pula aku dengar anak aku mengadu tak mahu pergi sekolah. Hari-hari nak sekolah. Masa main kat playground memang banyak. Kejap-kejap pegi playground, kejap-kejap pergi playground! Jadi, budak-budak pun taklah tension sangat agaknya sebab dah terpekik-pekik masa kat playground lepaskan tension!

Aku ni kerap juga le mengintai perihal aksi cikgu-cikgu kat sekolah ni. Eh...seronoknya mereka..... dahlah murid cuma 2o orang, mengajar sambil duduk pula tu. Mereka tak guna papan tulis macam cikgu kita kat Malaysia! Guna white board, kertas dan peralatan komputer je! Lepas tu, murid-murid duduk santai.....walhal lantainya tu bukan bersih sangat walaupun berkarpet........

Ada masa tu, murid-murid boleh main lego pula. Bagi aku, main lego ni dah jadi penyakit. Mana tidaknya, aku terpaksarela belikan bujang montel aku benda ni, sebab dia dah gian nak main. Terpaksalah aku merangkak ke kedai Toy 'R' Us beli lego..... Nasib baiklah benda tu murah kat sini. Penyakit lain pula tiba...... Nak mengemas benda ni dah kena bergotong-royong pula dengan dia. Selalu juga lego ni aku jumpa merata tempat. Bawah meja, bawah PC, celah-celah kerusi.... kat dalam bilik air, dalam sarung bantal dia pun ada.......

Wednesday, June 6, 2007

Pak Lah nak kahwin......

Embun jantan memang dah lama kering. Maklum sajalah, suria pagi tanpa segan silu menyinar seawal jam 5! beginilah kalau musim panas sudah tiba. Malam singkat benar.

Dalam kesibukan pagi yang tidak pernah surut, terjerit-jerit deringan telefon yang sengaja diperlahankan nadanya. Nasib baiklah pagi ni merancang untuk menyediakan sarapan me goreng Indome sahaja. Sementara menunggu air mendidih, cepat-cepat ku capai gagang telefon.

"Hello.....Kak Merak, saya ada satu berita gumbira!"
"Hahhh.......pagi-pagi buta ni, apa berita gumbiranya?"
"Pak Lah nak kahwinlah!"
"Kau biar betul!"
"Betul. Saya tengah menonton TV1, ni."

Tanpa sengaja, tiba-tiba saja ada garis senyum yang terukir. Seperti ada doa kesyukuran di hati.
"Moga-moga bahagialah pemimpin negara itu" Satu doa yang ikhlas dari seorang rakyat kecil seperti aku.
"Sabtu ni, akad nikah akan berlangsung."
"Siapa pilihan hatinya?"
"Entah. Tapi, seorang ibu tunggal dua anak."
Tak kisahlah siapa saja, asalkan dia bahagia setelah beberapa tahun menduda. Biarlah kekosongan hatinya terisi. Biarlah tiada ruang sunyi yang menyapa. Biarlah kesedihan akan berlalu. Aku gembira kalau pemimpin negaraku bahagia. Biarlah negara tercinta, dipimpin oleh seorang pemimpin yang indah hidupnya. Walaupun ambang senja semakin tiba, biarkan bahagia itu tetap jadi miliknya. Seperti kuntuman bunga ceri di musim bunga, kembang, mekar, indah berseri, menghiasi laman hidupnya. Biar tiada salji dingin berguguran lagi. Selamat pengantin baru Pak Lah....... Semoga bahagia berpanjangan......

Tuesday, June 5, 2007

sape - Jerry Kamit

Suka sangat tengok Jerry Kamit main sape ni. Bertambah rindu pulak ngan Bumi Kenyalang........ nak balik....... nak balik........... nak balik........ Lamanya nak tunggu hujung tahun ni...........

Sunday, June 3, 2007

Tahun yang ke 12

Tanggal 3 Jun 1995, bukanlah tarikh keramat. Bukan juga tarikh yang luar biasa. Detik itu tidak akan berulang lagi untuk tahun-tahun seterusnya...... Tapi, ia tetap menjanjikan satu catatan sejarah dalam hidup ini!

Sudah 12 tahun berlalu. Sudah berkali-kali tarikh 3 Jun berulang. Sepanjang 12 tahun ini, pelbagai kisah, suka duka, pahit manis, panas dan hujan, kering dan basah, taufan dan badai yang dilalui. Dari berdua, jadi bertiga. Kemudian ditambah lagi menjadikannya empat! terasa seperti 40 kesemuanya! Riuh-rendah, hiruk-pikuk...... seribu satu macam kerenah yang harus ditangani. Menjadikan setiap detik dalam hidup ini terasa singkat dan begitu bernilai.

Pejam-celik, rupa-rupanya sudah 12 tahun aku bergelar isteri! Sudah 11 tahun aku menjadi seorang ibu! Sudah 12 tahun aku mengongsikan hidup ini dengan seorang lelaki bergelar suami! Benar-benar tidak terasa masa berlalu. Terasa seperti baru semalam memakai gaun pengantin, memotong kek 3 tingkat yang sedikit senget tiangnya ......Heheheh. Seperti masih tersisa aroma daun kelapa yang dianyam sebegitu rupa menghiasi pintu gerbang gereja. Masih terdengar gemersik bunyi alunan muzik Eva Maria mengiringi langkah bersama debaran di dada! Terketar-ketar tangan menyarungkan cincin belah rotan, takut terjatuh melereng hilang. Alahai.....

"Selama 12 tahun perkahwinan ni, macam mana rasanya?"
"Tahun pertama, seronok!
Tahun kedua, seronok!
Tahun ketiga, seronok!'
Tahun keempat, seronok!
Tahun kelima, seronok!
Tahun keenam, seronok!
Tahun ketujuh, seronok!
Tahun kelapan, seronok!
Tahun kesembilan, juga seronok!
Tahun kesepuluh, lagi,lagi seronok!
Tahun kesebelas, lagi, lagi, lagi seronok!
Tahun keduabelas, lagi, lagi, lagi tersangat seronok........muahhhhhhhh! "


"Terima kasih lah sebab menjadikan 12 tahun terakhir hidup Merak tunggang terbalik! "
"Ye?"
"eeeeeemm"
Telefon berdering. Tamat perbualan tentang tahun yang ke 12!
Tahun ni, tahun pertama tak tanya tentang hadiah anniversary! Tak payah tanya! Tak ada kuntuman bunga! Jangan mimpi nak dapat cincin permata berlian! Nak dapat cincin plastik pun payah, ini 'kan pula nak dapat cincin permata berlian! Paling-paling ciuman 12 kali je! Tak kisahlah... yang paling penting, hidup ini lebih bermakna dan bahagia bersamanya dan anak-anak.