Monday, May 28, 2007

Minah terlebih baja

Baru-baru ini, aku buat kebajikan sikit. Kerjanya tidaklah hebat sangat. Tidak juga boleh menyenaraikan nama aku sebaris dengan selibriti seperti Mila juara AF5 tu. Jauh sekali untuk mengaut timbunan dollar. Nama pun buat kerja kebajikan. Aku tidak pernah mengharapkan imbuhan.

Tapi, cukuplah sekadar menebalkan catatan memori di kepala ku. Memberikan sedikit pengalaman dalam sejarah kehidupan.Tugasku senang saja, membawa beberapa orang kita masuk ke sebuah bangunan bertaraf dunia.

Aha, memang hebat bunyinya. Sememangnya bangunan ini hebat! Mana tidaknya, untuk memasuki bangunan ini, hanya orang-orang yang ada pas sahaja dibenarkan masuk. Kumpulan orang kita ni, awal-awal lagi sudah disediakan pas oleh pihak penganjur. Tugas orang kecil seperti aku ini cuma membawa mereka masuk. Itu pun, melalui pintu masuk pelawat.

Di pintu masuk, segala-galanya perlu melalui skrin imbasan, untuk tujuan keselamatan. Pas mesti dipakai setiap waktu! Alahai, baiknya semua ahli rombongan dari Malaysia ni! terasa bangga pula aku membawa mereka. Lebih-lebih lagi apabila beberapa orang Mat Salleh beria-ia hendak bergambar dengan mereka! Al maklum sajalah, berkebaya songket, berbaju Melayu, nampak anggun dan ayu! Segak bersongkok ala pahlawan di zaman kegemilangan empayar Melaka memukau sesiapa saja yang memandang!

Apabila orang bertanya, aku sebutkan nama Malaysia nyaring dan jelas. Biar bergema menerpa gegandang telinga mereka! Aku gah juga bila ratusan pasang mata melekat pada ahli rombongan yang aku bawa! Bangganya aku menjadi rakyat Malaysia! Berlenggang ala-ala puteri, melangkah seperti putera bangsawan, mereka aku bawa menyusuri laluan yang sepatutnya.

Sekali lagi rombongan itu perlu melalui sekatan. Terkial-kial di situ, seorang wanita sihat separuh umur, bersama seorang lelaki yang sewaktu dengannya, sedang berurusan dengan Pak guard yang aku kira berketurunan Hispanic. Dalam masa yang sama, aku perasan dua ahli rombongan tiada bersama.Aku pun menunggu mereka. Tambahan pula, aku lihat, minah sihat tadi masih sibuk tawar-menawar dengan pak guard. Barangkali terasa jemu melayan kerenah wanita ini, dia terus mengalihkan perhatiannya pada aku.

Aku menjelaskan bahawa aku membawa rombongan yang telah diamanahkan pada ku.Pak guard itu memeriksa pas masuk setiap orang peserta rombongan yang aku bawa. Aku menarik nafas lega. Seorang demi seorang ahli rombongan yang ku bawa melepasi pintu masuk kedua. Hanya beberapa minit saja lepaslah semua ahli rombongan aku tu. Aku hadiahkan senyuman yang cukup manis pada Pak Guard.

Pada masa yang sama, Minah sihat ni tadi merayu pula pada aku! Manalah aku tahu siapa dia! Dah Pak Guard kata nama dia tak ada dalam senarai jemputan, macam mana pula aku nak memandai-mandai untuk benarkan dia masuk! Walaupun aku pasti dia orang Malaysia! Aku pun hampir semput, bimbang ahli rombongan aku tidak lepas!

Walau bagaimanapun, aku cuba juga nak tolong dia. Aku bukanlah tergamak untuk membiarkannya di situ. Aku mintalah kad jemputan yang sepatutnya dibawa bersama sebagai pengenalan diri. Tak ada pula! Aku cuba cari nama dia dalam senarai jemputan yang digenggam erat pak guard. Tak ada juga! Jadi, aku pun was-was. Bangunan tu, bukan bangunan bapa aku. Tambahan pula, jemputan sepatutnya datang jam 6.30 petang, jam di tangan aku baru menunjukkan 2.25 petang! Tak 'kan jemputan datang awal sangat. Acara besar seperti ini, siapa pun boleh mengaku sebagai jemputan! Aku pun serba-salah.

Kalau apa-apa terjadi nanti, nama negara aku juga yang tercemar. Daripada nama baik negara aku tercemar, baik aku berlalu menjalankan tugas yang telah diamanahkan pada aku! Tentulah aku minta maaf kerana tidak dapat menolongnya sebelum berlalu pergi untuk turut serta bersama 21 orang ahli rombongan ku, masuk ke perut lif!

Rupa-rupanya Minah sihat ini tadi benar-benar marah pada aku! Dengan muka bengis, mata menyala-nyala, dia terus menerpa ke arah aku sebelum acara bermula. Dengan jarinya yang kontot, diacukannya tepat ke arah muka aku!Ala-ala cerita cowboy saja lagaknya! Dia mengatakan aku ini rakyat Malaysia yang tidak suka menolong orang! Aku tarik nafas panjang-panjang. Aku hembus perlahan-lahan. Aku tidak mahu majlis gilang-gemilang malam itu mencatatkan sejarah duka! Aku ke sini pun sebab nak tolong negara aku. Aku buat kebajikan untuk negara aku!

Minah sihat ini tak puas hati juga. Dipegangnnya pas yang terkalung di leher ku! Siap hendak mengambil nama aku rupanya Minah sihat ini. Mamat sihat yang menemaninya tak habis-habis sebut perkataan sudah! sudah! Barangkali dia faham bangunan ni bangunan apa. Tempat ini tempat apa. Barangkali dia tidak lupa mereka bukan berada di tanahair! Cuma Minah yang terlebih baja itu yang tak sedar diri! Tidak mengakui kesilapan diri!

Aku menjelaskan pada Minah terlebih baja itu, aku hanya ditugaskan untuk mengiringi rombongan dari Malaysia semasa majlis tersebut. Aku tidak bertugas di mana-mana pejabat kedutaan Malaysia. Aku cuma buat kebajikan! Kerja amal! Barulah Minah terlebih baja itu terketot-ketot berlalu. Jauh di sudut hati, aku cukup kesal kerana adanya rakyat Malaysia seperti dia di luar negara!

Aku tidak puas hati! Aku mengadu pada pengurus majlis! Pengurus majlis pun cukup hairan. Kenapa Minah terlebih baja itu datang awal sangat. Senarai nama jemputan yang lengkap belum sampai ke tangan pak guard, dia dah sampai dulu! Dalam kad jemputan dengan jelas menyatakan datang jam 6.30 petang, jam 2.25 petang dah sampai!

Dengar khabar, Minah terlebih baja itu seorang pengarah urusan sebuah syarikat persendirian.Walau siapa pun dia, tidak semestinya dia boleh masuk sesuka hati ke dalam bangunan ini! Undang-undang tetap undang-undang! Belajar menghormati undang-undang! Belajar menepati masa!

Aku tidak sedih sebab tak tolong dia. Aku juga tidak terkilan sebab dia tunding aku dengan jari kontot ala ulat mulungnya! Tapi, aku cukup sedih sebab adanya rakyat Malaysia yang berkedudukan tinggi, berpangkat besar, berpendidikan entah apa kelulusannya, tidak tahu menghormati peraturan yang cukup mudah, cukup senang, cukup biasa di tempat orang, di negara orang!



Selendang ni, dihadiahkan oleh seorang teman. Katanya, selendang ini dia beli semasa melancong ke Turki baru-baru ni. Terima kasih banyak-banyaklah sebab beri selendang Turki ni. Saya tolong seikhlas-ikhlasnya!





Yang ni pula, dihadiahkan oleh seseorang yang cukup aku segani. Terima kasih daun keladi, saya sekadar ingin berbakti........erkkkk..

Saturday, May 26, 2007

Aku orang kampung

Rindunya nak balik Malaysia. Membuak-buak rasa rindu. Teringat nak makan pucuk ubi masak lemak. Nak makan ikan sungai kasam, nak pergi ngabang di rumah panjang, nak mandi sungai, nak tanam sayur, nak balik kampung! Rindu sangat-sangat ni. Orang kampung tak rindu kat aku ke ye?

Rindu yang tak tertahan-tahan macam ni, bahaya juga. Semua tak kena. Anak-anak pula sibuk ajak pergi keluar. Nak pergi mana? Tempat macam ni bukan boleh hiburkan hati orang kampung istimewa macam aku ni. Aku nak balik Malaysia juga. Nak balik Malaysia, aku tak nak duduk Kuala Lumpur! Aku nak duduk di kampung juga! Aku orang kampung yang berjiwa kampung! Aku tak suka pergi shopping! Aku tak suka naik kereta! Aku tak suka naik subway! Aku tak suka naik bas! Aku suka jalan kaki! Aku suka duduk rumah saja! Aku rindu nak tanam bunga keliling rumah. Aku gian nak buat batas tanam sayur di belakang rumah!

Agaknya dah berkarat semua perkakas kebun aku yang aku tinggalkan tiga tahun lalu. Harap-haraplah orang kampung tak lupa untuk menyimpannya. Biar tak kena hujan. Biar cahaya matahari tidak mengeringkannya. Biar tak berkarat, biar tak lapuk dek hujan, sebab aku nak balik Malaysia tak lama lagi. Aku nak buka kebun baru. Seronoknya nak balik Malaysia, nak balik kampung!

Aku pun pasti, orang kampung semua rindu pada aku. Mereka mesti rindu nak rasa masakan aku. Aku pasti semua orang kampung tak sabar nak ajak aku makan kolo mee depan topekong. Masih ada lagi ke apek mata sepet tu jual bubur nasi kegemaran bapa aku tu? Harap-harap dia masih sihat lagi. Aku nak bawa bapa dan emak aku yang sudah tua tu makan bubur nasi yang enak di situ.Macam dulu-dulu juga. Aku rindu sangat untuk makan kat situ bersama mereka. Rindu sangat! Aku nak balik kampung cepat-cepat!

Semua orang kampung yang sayang aku pun boleh duduk semeja makan kolo mee depan topekong. Kalau tak cukup satu meja, kita duduk dua meja. Kalau tak cukup dua meja, kita boleh tambah berapa meja saja yang mampu menampung orang-orang kampung yang khabarnya semua dah membesar menjadi anak dara, anak bujang, yang memang sudah dewasa tiga tahun lalu, sudah pasti dah ada tambahan segaris dua kedut di muka macam aku. Seronoknya nak balik kampung! Bukan nak bilang berapa tambahan kedut di muka orang-orang kampung, tapi sebab aku orang kampung! Orang kampung yang tidak pernah lupa diri.

Lepas tu, boleh terus ke sungai. Sungai yang airnya jernih. Walaupun semakin cetek dan berliku-liku, masih ada ikan kecil lagi. Masih ada siput sedut hitam yang tinggal di dalamnya. Malah mungkin juga sudah ada kerikap, siput bulat di situ. Di celah-celah batu pasti ada udang-udang kecil bersembunyi. Kita boleh tangkap. Pelan-pelan alihkan batu, alihkan daun, kita tangguk menggunakan tangguk bemban yang dianyam oleh emak.

Orang kampung aku ada pakar tangkap hidupan sungai yang airnya jernih itu. Sudah pasti dia juara kalau ada lumba tangguk ikan di sungai cetek itu. Dapat mentua pun, juara cari hidupan sungai juga. Tangkap ikan kecil, kutip siput sedut, tangkap udang yang bersembunyi di sebalik batu. Seronoknya jadi orang kampung!

Walau pun aku bukan juara tangguk ikan, aku rela menghabiskan berhari-hari waktu senggangku meredah arus sungai yang mengalir. Walaupun airnya mengalir lesu, ia cukup menghiburkan. Belum pernah aku tersermpak dengan buaya ganas di sungai itu.Biawak pernah juga cuba mengintai anak-anak ayam orang kampung yang mencari makan di tebing sungai itu.Ular mungkin ada. Tapi, kena hati-hati. Orang kampung sentiasa hati-hati. Aku sayang kampung aku! Aku nak balik kampung!

Kampung aku semua ada. Bangganya aku. Kampung aku dah ada elekterik. Air paip pun dah ada juga. Lama dulu lagi dah ada. Jalanraya sudah tidak berdebu lagi seperti dua puluh tahun yang lalu. Semuanya sudah bertar. Dengar khabarnya, internet pun dah ada di kampung aku. Terima kasih atas politik pembangunan yang menjadi bualan orang-orang kampung aku bila dah dekat pilihanraya. Terima kasih.

Siapa kata orang kampung tak hebat berpolitik? Tapi, mereka tak pernah lupa beri ayam itik makan. Tak pernah pula terlewat masuk kerja. Pisau toreh tak pernah lupa diasah. Malam sebelum tidur lagi dah diasah supaya tak terlambat masuk kerja. Tak pernah sangkut dalam kesesakan jalanraya! Mungkin ada berselisih di tepi jalan atau danau. Tak pernah lupa tegur. Tak pernah bunyikan hon.Orang kampung tak biadap. Sebab orang kampung jalan kaki saja pergi kerja. Paling-paling pun, naik basikal atau motor kapcai.

Orang kampung, kalau dengar guruh enjin motor, cepat-cepat beralih ke tepi jalan. Biar kaki kena rumput sikit, tak apa. Tak sakit sebab sudah lali lagi pun, selipar jepun ada. Selipar jepun bukan mahal. Itupun jarang-jarang ditukar. Kalau tali selipar jepun putus, boleh sambung dengan dawai halus. Biar tak cantik asal dapat dipakai. Tak payah pakai kasut tumbit tinggi nak pergi kerja. Buat lenguh kaki saja.

Pakaian pun tak payah cantik. Pakai mana yang dapat melindungi kulit dari dingin angin pagi saja. Tak ada masalah dengan pakaian. Orang kampung cukup pandai berjimat cermat. Hidup cukup sederhana.Lagipun, kalau pakai cantik-cantik, nanti terpercik susu getah, susah pula nak menyentalnya. Baik pakai mana yang patut. Tak ada markah khas untuk bahagian penampilan diri. Tak payah risau keputusan PTK kalau jadi orang kampung macam aku.

Orang kata jadi orang kampung susah. Cuba cakap, mana hidup tak susah? Mana hidup tak ada cabaran? Mana hidup yang segala-galanya datang bergolek? Nak makan pun kena suap nasi ke mulut. Nak nganga pun susah. Kena anggarkan keluasan mulut! Kadang-kadang kalau silap nganga, orang gelak pula. Kalau kunyah kuat-kuat, orang jeling-jeling, pandang-pandang. Mana ada hidup ini senang?

Tapi, aku tetap bangga jadi orang kampung. Walau pun aku sudah pencen jadi penoreh getah, aku tetap pandai menoreh. Pengalaman sedia ada. Bawalah aku menoreh getah jenis apa pun, aku tetap boleh menoreh! Dari mengasah pisau toreh, memproses hinggalah menjualnya, aku boleh buat! Bangganya aku jadi orang kampung! Biar satu dunia tahu aku bangga jadi orang kampung. Rinduku tiba-tiba menerpa. Aku nak balik kampung. Aku nak balik Malaysia.

Rindu pula dengan sawah padi. Tapi, emak kata, tak ada lagi orang kampung mengusahakan sawah padi di kampung aku. Emak kata, orang seangkatannya sudah dinaik taraf jadi warga emas! Patut pun. Warga emas mana larat lagi nak tanam padi! Mana ada tenaga lagi nak bajak sawah! Mana nak kumpul kudrat nak buat batas sawah! Mana larat nak terpacak lama-lama di bawah teriknya mentari! Kasihannya warga emas kampung aku!

Mana pula perginya warga muda kampung aku? Eh, aku lupa. Aku tak ingat warga muda kampung aku dah berpelajaran tinggi. Aku tak ingat ramai warga kampung aku dah kerja di pejabat. Aku benar-benar tak ingat, aku salah seorang dari mereka! Oh.. rindunya aku. Rindunya aku hendak ke sawah! Aku nak balik kampunglah! Mungkin aku boleh usahakan sawah yang terbiar. Kalau tak tanam padi pun, mungkin sawah itu boleh dijadikan kolam ikan. Ikan kolam sedap. Ada ikan Sutan, ikan Talapia, ikan keli pun boleh hidup di sana.

Eh, sedapnya ikan keli bakar! Cicah dengan sambal belacan perah limau kasturi. Sedap juga dimasak gulai tempoyak. Di sini mana nak bakar ikan keli. Boleh bakar dalam oven, tapi rasanya tak sama kalau kita bakar dengan arang kayu! Aku nak bakar keli atas bara kayu. Aku nak tumbuk sambal dalam lesung batu untuk cicah keli bakar. Aku nak hentak antan kuat-kuat dalam lesung. Biar cili dan belacan lumat. Kalau di sini, mana boleh tumbuk sambal kuat-kuat! Nanti orang adu pada pengurus bangunan! kena marah, kena pindah! Di kampung aku, tumbuk sambal kuat-kuat emak suka. Lumat, Sedap! Aku nak balik kampung. Aku nak balik kampung! Aku nak balik kampung! Orang kampung macam aku, kena duduk kampung! Kampung aku! Kampung yang paling cantik dalam dunia! kampung aku!

Dulu dan sekarang

Dah lama pula rasanya tak mencatatkan sesuatu dalam blog ni. Setiap hari sibuk menguruskan orang lain, diri sendiri tidak terurus! Makan tak tentu, mandi bukan tak mandi. Malahan mandi tetap basah! Bersih tak bersih, rasanya sental juga, sabun pun dah berbuku-buku habis untuk mandi. Tak kan tak bersih juga. Bersihlah tu. Sesekali tu, rambut mungkin tak disikat, ikat saja. Tak sempat!
Bangun pagi, dah bercermin. Bukan bercermin dengan cermin muka, tapi bercermin dengan cerek air, periuk, kuali, sudu, cawan..Huh...maknanya, periuk-belanga di dapur aku taklah sehitam periuk-belanga nenek aku dulu. Maklum sajalah, manalah nak bandingkan periuk-belanga orang-orang zaman dulu, mereka menggunakan dapur kayu, sekarang orang menggunakan gas dan periuk elekterik. Itupun, bukannya menyebab aku semakin rajin ke dapur, semakin liat adanya.
Tapi, bila aku teringat dengan rasa tanggungjawab terhadap anak-anak dan suami, aku jadi rajin pula. Anak-anak tak pernah mengadu lapar. Suami pula mesti nak makan masakan aku setiap masa. Tak kisahlah, pagi ke, tengahari ke, malam ke, ke pejabat pun nak bawa bekal.......Kadang-kadang rasa nak pencen awal jadi tukang masak tak bertauliah ni. Aku sendiri dah muak dan tak berselera untuk menikmati masakan sendiri. Nak makan di kedai, hanya aku saja yang beria-ia nak makan. Orang lain, semua tunggu masakan aku juga! Bertuahnya aku!

Saturday, May 19, 2007

Cawan dan Kopi

Beberapa hari lepas, seorang teman menghantar cerita ini kepada saya dalam Bahasa Inggeris. Saya terjemahkan untuk dimuatkan dalam blog ini. Ceritanya berkisar tentang sekumpulan manusia yang berkedudukan tinggi dan ternama.

Sekumpulan bekas mahasiswa sebuah universiti terkemuka yang telah berjaya menyandang pelbagai jawatan tinggi dalam kerier masing-masing, telah menziarahi salah seorang bekas pensyarah mereka.perjumpaan pada petang tersebut telah bertukar kepada persoalan menangani tekanan dalam hidup dan pekerjaan.

Pensyarah tersebut beralih ke arah dapur dan kembali semula dengan secerek kopi panas. Di tangannya, sedulang cawan yang pelbagi rupa dan jenama: porselin, plastik dan kaca.Sebilangan cawan-cawan tersebut berjenama tinggi, mahal dan ada juga yang kelihatan cukup sederhana.

Pensyarah tua itu dengan sopan mempersilakan mereka menjamu diri masing-masing dengan kopi yang beliau sediakan.Apabila setiap orang bekas pelajar itu menikmati kopi masing-masing,pensyarah itupun berkata,
"Jika semua anda perasan, semua cawan-cawan yang kelihatan cantik dan mahal telah digunakan, meninggalkan cawan-cawan yang kelihatan murah dan tidak menarik," pensyarah itu kelihatan begitu tenang apabila beliau meneruskan ungkapannya.

"Apabila menjadi kebiasaan, seseorang mahu yang terbaik bagi dirinya sendiri, itu adalah akar umbi permasalahan dan tekanan dalam kehidupan." Pensyarah itu berhenti sebentar. menarik nafas panjang dan mengalihkan pandangan kepada setiap orang bekas pelajarnya.


"Apa yang anda mahukan hanyalah air kopi dan bukannya cawan. walau bagaimanapun, kita acap kali memilih cawan yang lebih cantik, mahal dan menawan. Pada masa yang sama memerhatikan cawan yang digunakan oleh orang lain," dia berhenti lagi seolah-olah mengumpulkan kudrat yang ada untuk meneruskan bicara.

"Jadi sekarang, bayangkan kehidupan kita adalah air kopi, kerjaya, kedudukan dan wang dalam masyarakat pula adalah cawan. Kita adalah cawan dan kehidupan adalah kopi. Oleh yang demikian, kita ini hanyalah alat untuk mengendalikan kehidupan.Kualiti kehidupan itu sendiri tidak akan berubah. Kadang kala, kita terlalu menitik beratkan cawan yang kita gunakan sehingga kita sendiri gagal menikmati kopi di dalamnya."

Usia 40


ANGKA 40 membawa persepsi yang berbeza terhadap lelaki dan wanita. Bagi lelaki, usia 40 dianggap sebagai permulaan hidup baru, semangat baru dan semakin matang. Bagi wanita pula, usia 40 dikaitkan dengan perkara-perkara negatif dan selalu dianggap sinonim dengan musim saham menurun.Bukan berniat merendahkan orang perempuan, jauh sekali untuk memperlekeh kaum wanita. Cuma saya ingin bercakap perkara yang betul di depan mata. Satu hakikat perihal Adam dan Hawa.
Walau bagaimanapun, golongan pejuang wanita menegaskan tidak ada beza antara lelaki dan perempuan. Saya tetap berasa ada perbezaan yang jelas. Ini bukan soal fizikal, yang memang jelas ada bezanya, tetapi ciri-ciri lain yang menyebabkan Leha dan Leman tidak serupa. Sebenarnya, awal-awal sudah berbeza.
Dari segi tahap kematangan semua orang mengakui perempuan lebih cepat dewasa berbanding lelaki. Anak perempuan baligh lebih awal dari lelaki. Ada gadis yang mula haid seawal sembilan tahun. Sebaliknya, ada lelaki yang sudah masuk usia 17 belum ada apa-apa. Mereka yang mempunyai anak-anak lelaki dan perempuan boleh melihat hal yang sama. Baru darjah enam anak perempuan sudah boleh diharap mengemas bilik tidur, mencuci pinggan mangkuk atau membancuh susu adik. Anak lelaki sudah tingkatan tiga pun masih tidak tahu apa-apa.
Sebab itu orang putih kata, kehidupan seorang lelaki bermula pada usia 40 tahun. Konon, pada usia ini lelaki menjadi lebih matang, tepat membuat keputusan, bijak memberi cadangan, lebih penyayang, lebih prihatin, lebih itu, lebih ini. Hanya satu yang tidak sedap, malah tidak adil: konon pada usia 40 inilah darjah kemiangan lelaki dikatakan semakin meningkat! Miang, gatal, merenyam, dan banyak lagi istilah-istilah (maaf, sesetengahnya tidak sesuai disiarkan sebab kedengaran kurang sopan) yang seerti dengannya untuk menggambarkan perangai lelaki setelah melewati usia empat puluhan.
Orang perempuan selalu memberi alasan yang serupa untuk menguatkan andaian bahawa lelaki memang miang. Antaranya, yang paling biasa: suami mula menjeling wanita lain, suami mula main kayu tiga, suami kahwin baru dan sebagainya. Bukanlah hendak menyebelahi lelaki, tetapi pada hemat saya andaian seperti itu adalah rambang, dan sekali gus tidak adil. Sebab, bilangan suami yang main kayu tiga, atau membuka 'cawangan' baru adalah kecil, terlalu kecil. Mungkin yang jeling-jeling wanita lain ramai, tetapi percayalah jelingan itu tidak membawa apa-apa mudarat. Lagi pun ada sebab suami menjeling wanita lain.
Maaf cakap, ketika suami mula 'meriah habis' pada usia 40, wanita pada usia tersebut dikatakan mula mengendur dan 'dingin' dalam banyak hal. Sebenarnya, ini diakui sendiri oleh ramai wanita, sebab itu mereka tidak suka usia empat puluhan disebut. Pendek kata, angka 40 membawa persepsi yang berbeza kepada lelaki dan wanita. Bagi lelaki, usia tersebut dikaitkan dengan kematangan dan kehebatan. Bagi perempuan pula, usia tersebut sering digambarkan sebagai peringkat saham menurun.
Kalau ada suami yang mula menunjukkan tanda-tanda 'keriangan' luar biasa, saya ada panduan untuk isteri menyekat suami main mata dengan orang lain. Kaedah ini tidak ada dalam buku motivasi suami-isteri, tetapi boleh dicuba. Pertama, layan suami seperti biasa. Hangatkan suasana dengan kata-kata yang memberangsangkan. Contoh: "Fuhhh, misai abang sekarang tebal semacam, kita tengok pun geram!" Atau: "Abang sejak minum kopi herba tu, kita rasa luar biasa!" Kata-kata seperti ini boleh membangkitkan semangat, dan suami merasa dihargai.
Tetapi jangan cakap sahaja, isteri patut buktikan dengan perbuatan. Jika hanya pandai memuji misai, tetapi di bilik tidur isteri rebah dan tidur macam tunggul, pujian tentang misai itu tidak bererti langsung. Tidak guna menyiapkan kopi dengan tujuh ramuan herba, sekiranya di katil isteri berdengkur kuat seperti bom, tanpa sedikit pun menghiraukan perasaan suami yang bergelora seperti gelora Tsunami.
Masalahnya ialah wanita pada usia 40, lebih-lebih lagi yang sudah beranak ramai, sudah mula dingin seks. Bukan putus haid, tetapi mula tidak berapa minat mengadakan hubungan kelamin. Mungkin sebab kesibukan di pejabat, atau letih melayan anak-anak sepanjang hari di rumah. Isteri menjadi pasif di katil. Letak sahaja kepala di bantal, terus berdengkur.
Pada hemat saya, tanpa mengira usia, isteri patut bijak melakukan aksi-aksi hangat semasa berdua di kamar tidur. Mungkin boleh cuba urutan cakar harimau yang popular itu. Sambil mencakar boleh bergurau senda, dan puji-puji tentang misai. Kalau cakaran harimau sudah mengena, suami yang letih menjadi segar semula. Pasti suami akan membalas dengan cakaran kucing jantan.Bayangkan apa akan terjadi apabila cakar berbalas cakar. Tentu harimau akan mengaum. Amaran: hati-hati sekiranya isteri berkuku panjang dan tajam, takut tersilap cakar luka pula kulit belakang suami. Akibatnya, suami berasa kesakitan dan mungkin menggunakan tendangan kambing gurun hingga isteri terpelanting bawah katil!
Kedua, isteri mesti terus bergaya. Sebenarnya wanita pada usia 40-45, masih cantik dan menawan. Masih anggun dan mempesona. Memanglah tidak 'cun-melecun' seperti gadis belasan tahun lagi 'trang-tang-tang'. Tetapi sekiranya bijak mendandan diri, suami pasti tidak menjeling pada orang lain.
Masalahnya ialah, sesetengah isteri, terutama yang menjadi suri rumah sepenuh masa, tidak menghiraukan soal penampilan diri. Tidaklah selekeh, tetapi kurang mesra alam. Rambut tidak disisir, menggerbang macam langsuir atau penunggu pohon beringin dalam Misteri Nusantara. Dahi berkerut, bibir berkedut. Tanpa bedak, tanpa gincu. Pipi pun berminyak semacam.
Sudahlah begitu, pakaian pun asyik kain batik lusuh dengan t-shirt Pagoda leher bulat yang ketiaknya terkoyak sedikit. Ini sudah menjadi uniform tidak rasmi suri rumah yang tidak berseni. Sesetengahnya langsung tidak berbaju, hanya berkemban. Sudahlah berkemban, nampak bulu ketiak keriting, betul-betul macam ibu si Tenggang.Percayalah, kalau rupa seperti ini yang dilihat oleh suami setiap hari, belum masuk usia 40 tahun pun suami sudah menjeling wanita lain. Jika hari-hari melihat puntianak atau ibu si Tenggang, suami pun berasa muak juga. Suami pun hendak melihat benda-benda indah.
Sebenarnya, mendandan diri bukan susah sangat. Lagi pun kebanyakan suami tidak cerewet sangat. Suami tidak mengharapkan isteri menyambutnya dengan pakaian berjenama antarabangsa, atau jari lentik dengan kuku berwarna, bibir merah dan basah berkilat, rambut ikal mayang teknik rebonding, alis lentik bagai penari Makyong. Apa yang dikehendaki oleh kebanyakan suami ialah penampilan seorang isteri yang kemas, sopan dan kelihatan manja. Jangan lentuk sangat, suami naik lemas pula.
Rambut perlu disisir kemas, pada hari-hari tertentu (petang Khamis umpamanya!) boleh letak bunga ros di kepala. Tetapi, jangan pula terlebih hingga pacak bunga manggar di kepala. Nanti suami ingat isteri sudah sewel.Pipi patut dihias supaya tidak nampak berminyak macam mamak jual capati. Kalau tidak mampu pakai bedak yang berjenama, bedak biasa pun boleh, asalkan disapu dengan kemas. Jangan asyik lumur dengan bedak beras sejuk sehingga wajah kelihatan seperti wayang China purba!
Tidak salah menyambut kepulangan suami dengan haruman. Semburlah pewangi yang boleh membangkitkan semangat. Kalau tidak ada pewangi pun gunakanlah haruman asli dari bunga cempaka, melur, kenanga atau lain-lain bunga wangi. Kalau pun teruk memasak di dapur pastikan bau serbuk kari, sambal belacan, budu, atau bau ikan pekasam goreng tidak melekat di tubuh. Amaran: jangan sekali-sekali ada bau semburan ubat lipas atau kapur barus pada tubuh. Mati selera suami!
Ketiga, mesti selalu senyum. Sambutlah suami dengan senyum paling manis. Senyum yang ikhlas, dan bukan dibuat-buat. Ingat, orang lelaki dapat membaca antara senyuman ikhlas dan senyum palsu. Tetapi, jangan tersengih tidak tentu pasal, nanti suami ingat isteri tersampuk puntianak sundal malam.Tidaklah diharapkan isteri mengurut-urut bahu atau dada suami sebaik masuk ke rumah, lebih-lebih lagi di hadapan anak-anak. Memadailah isteri menegur: "Abang nampak letih, boleh kita ambilkan air? Abang nak air sejuk atau air panas?"
Tetapi, jangan pula memberitahu suami benda-benda yang mungkin mematikan semangatnya, seperti: "Tadi ada orang datang, dia kata abang dah tiga bulan tak bayar ansuran kereta, betul ke?" Atau: "Orang sebelah tu beli TV 29 inci, boleh tak kita beli yang 36 inci?"
Keempat, etika di bilik tidur. Ini paling penting, sebab bilik tidur adalah tempat rehat bagi suami isteri. Tempat tidur mesti selalu kemas dan menarik.. Semburkan haruman supaya semerbak sepanjang malam. Sesekali taburkan bunga-bunga wangi di atas tilam. Barulah bersemangat untuk cakaran harimau atau cakaran kucing. Malangnya, bagi isteri yang sudah melewati empat puluhan, bau haruman di kamar beradu biasanya tidak dihiraukan lagi. Tidak ada bau minyak wangi, seperti zaman baru-baru kahwin dulu. Apa yang memenuhi bilik tidur sekarang hanyalah bau minyak angin.
Bilik tidur penuh dengan beraneka minyak angin. Penjuru katil ada minyak lenguh sendi, tepi bantal ada minyak sengal tulang, atas tilam ada minyak pening kepala, bawah katil pula ada minyak semput.Walaupun sudah lenguh sana-sini, minyak-minyak itu bukan di kamar tidur tempatnya. Kalau setiap malam hidung suami tersumbat bau minyak angin, matilah seleranya untuk mencakar. Sebagai seorang isteri, kita harus arif tentang perkara kecil tetapi membawa kesan yang boleh merubah segalanya seperti ini.

Selamat mencakar ..... Aummmm !!!!