Sunday, August 26, 2007

Meter air

Tengah malam semalam baru terima sms dari orang kampung.
Mak Gemok : Meter air rumah kamu dicuri orang. Apa macam?
Merak : Lapor pada LAK (Lembaga Air Kuching) le....
Aku sungguh tidak faham, kenapa meter air pun kena curi. Kenapa manusia begitu tergamak melakukan perkara-perkara yang telah diketahui suatu kesalahan? Aku benar-benar tidak faham! Meter air boleh kena curi!
Lebih tiga tahun rumah aku tu tak berpenghuni. Kalau ada pun, sekali-sekala orang-orang kampung akan singgah menebas rumput atau mengambil bil-bil yang dihantar terus ke rumah itu. Sekali-sekala mereka akan bermalam di situ. Tapi, malam tadi mereka benar-benar terperanjat kerana rumah itu tidak ada bekalan air.
Setelah di periksa, barulah mereka perasan meter air telah dicuri orang........ Semoga pencuri meter air rumah aku tu cepat-cepat bertaubat dan mengakui segala kesalahannya di hadapan Tuhan.......sebab aku dah maafkan kesalahan pencuri meter air aku tu.....Aku katagorikan dia sebagai manusia yang terdesak untuk hidup...... Walau bagaimanapun, mencuri bukanlah jalan penyelesaiannya! Kalau dia minta meter air aku tu baik-baik, pasti aku beri percuma kat dia walaupun aku kena bayar RM250 kepada LAK untuk mendapatkan meter air yang baru.....Ni, dia dah buat dosa dan menyusahkan orang lain. Tak baik betul.......

Tuesday, August 21, 2007

Aku, Bangkat dan kebun getah

Hidup ku memang penuh dengan warna-warni. Hitam dan putih tidak pernah terkecuali. Hijau dan coklat seperti sudah sebati dengan hidup ku. Sebab itu ia menjadi warna kegemaran ku. Apabila aku perasan wujudnya insan lain dalam hidup ku, lalu aku mula menyelitkan warna biru di celah-celah kehidupanku. Aku seperti lupa, biru itu warna langit dan biru itu juga laut. Mujur ada dia yang mengingatkan semua itu.
Aku dibesarkan di antara rimbunan hijau pohon getah, junjung pohon lada, sawah padi dan padi huma. Aku tidak pernah lupa, di waktu dingin subuh, aku sering menjadi teman mak dan bapa pergi menoreh. Mengingatkan rumput dan lalang yang basah dek embun di subuh hari, aku cukup liat untuk pergi bersama mereka. Apa lagi apabila mengingatkan nyamuk dan agas yang sentiasa menjadikan aku santapan mereka.
Mak tak pernah putus asa. Aku dimasukkan ke dalam bakul besar. Bakul rotan yang dianyam jarang-jarang oleh bapa. Berukuran lebih kurang dua kaki tinggi, cukup untuk memuatkan aku. Aku duduk selesa dalam bakul ala raga. Anyaman rotan yang kejap, cukup kukuh! Bentuknya seakan-akan kon yang diterbalikkan! Tapi, hujungnya tidak runcing seperti kon. Hujungnya bersegiempat sama. Itu yang membezakannya dari bentuk kon. Di salah satu sisinya, bapa letakkan upih pinang kering supaya emak senang untuk menggalasnya. Di kedua tepinya pula bapa ikatkan tali terap kering supaya emak boleh sangkutkan bakul di kepala.
Meredah dinginnya pagi. Aku duduk selesa dalam bakul yang dipanggil bangkat itu. Bangkat penuh aku, tersangkut di kepala emak. Aku tidak pernah tahu aku berat. Aku tidak pernah tahu aku beban buat emak. Kalau aku tahu, aku tidak akan duduk dalam bangkat. Di celah-celah anyaman rotan, aku melihat alam seperti bergerak. Aku melihat rumput-rumput basah dek embun. Di antara anyaman rotan itu juga aku melihat embun pagi di hujung daun lalang sepanjang perjalanan ke kebun getah. Sesekali, denai yang dilalui diselang-seli dengan becak dan lumpur. Emak melangkah hati-hati. Aku dapat rasakan semua itu.
Kadang-kadang aku cuba memperbetulkan kakiku yang terasa semut-semut. Emak suruh aku duduk diam-diam. Bersama aku dalam bangkat itu, sebotol air kopi pekat dan seplastik ubi rebus. Begitulah hari-hari yang aku lalui sepanjang enam tahun pertama kehidupanku. Barang kali waktu itu kanak-kanak lain sedang sibuk menulis dan membaca di kelas tadika.
Aku tidak pernah ke kelas tadika. Di kampung aku tidak ada kelas tadika! Aku belajar menulis di atas daun-daun getah kering yang berguguran. Aku gunakan hujung tangkai daun getah sebagai pena. Aku celupkan pena daun getah dalam bekas susu getah. Lalu aku goreskan huruf-huruf yang abang dan kakak aku ajar di atas daun getah kering itu. Aku bangga kalau tulisan dan corak putih di atas daun coklat dan jingga selesai sementara emak dan bapa memerah keringat, menoreh untuk memperjuangkan hidup yang tidak pernah selesai...........

Thursday, August 16, 2007

Program baru

Dah duak ari sakit perut tok. Dah beberapa minggu dah sik sakit, dapat email nunggah meeting jak, terus sakit perut. Biasalah nak...gastrik bah.... Minggu tok dah mula program nguruskan badan...hehehehe...Agik pun hubby aku dah meli racquet tennis nyuruh aku pegi main. Aku apa lagik....urang dah merik green light 'kan...... jadi, oleh sebab aku sik ada partner maok main, aku mainlah di gelanggang squash......Ney lah tauk, aku boleh jadi partner Nicole kelak.....hehehehe...perasan lebih gilak.
Ari pertama, ari keduak aku main, sakit juaklah lengan aku.... dah masok ari ketiga, ari keempat, dah kira ok dah.......Tapi bujang lapok aku maok ngekot juak aku pegi main.... huhuhuhuhu....ilanglah kebebasan aku main.... Rela nya bangun awal pagi sebab maok ngekot... Duak ari ya tek, aku keluar rumah, nya agik tidor.....Jadi aku jalan slow ajak supaya nya sik bangun...... Tapi, bila nya tauk aku gi main, ari ketiga nya dah ngekot....Cam ney maok jadi ramping tok eh......
Dah di court ia nya madah nya maok kenak target.....Lalulah nya berdiri depan dinding squash ia. Target mom..target.... katanya....hehehehe...ngaco nar mbiak tok eh..... Nya ingat aku tok macam Robin Hood eh.....pandey naget cun-cun....Mun cun-cun kenak target ia.....lagi dahsyat....Nya ia bukannya Sponge Bob, senang bol maok mantol.....Mun kenak smash bol tenis ia, mun sik dua ari masok spetal, maok seminggu...hehehehehhe.....Sik da lah aku maok nagetnya....muuuuaaaahhhhh....
Ari seterusnya, aku nyuruh nya ngembak basket ball....supaya nya sik ngaco aku main..... nya ngajak aku main ngan nya...pulak dah....Angol nyawa cam tok....Sik da hal, as long nya happy, aku pun happy juak.....sik slim pun sik hal lah....Cam ney gaya dah memang kedak tok suratan idup jadi emak urang......((*8*))

Tuesday, August 14, 2007

Hari ini di sini

Hari ni, pagi-pagi lagi orang dah telefon suruh datang bangunan tu. Aku memang tidak rajin nak jengukkan muka kat bangunan tu. Katanya ada perjumpaan tentang Hari kebangsaan yang akan diadakan tak lama lagi. Aku bahagian hiasan dewan. Dah dari dulu lagi tugas yang sama. aku pun dah bosan buat benda yang sama. Apa salahnya suruh orang lain pula. Kali ini ada interior designer yang akan tolong buat. Mungkin senang sikit le nak buat kali ni.Walau apa pun, aku memang dah tak mahu tahu tentang hal-hal yang berkaitan dengan orang-orang penting ni.

Ya lah 'kan, kalau kita dah berat hati nak melibatkan diri, kalau terpaksa buat juga, jadi macam tak ikhlas pula.....Aku kalau buat benda tak ikhlas, baik tak payah! Tambahan pula, aku datang sini bukan nak buat kerja. Aku datang sini sebab ikut suami. Apa-apa yang berkaitan dengan kerja, suruh le orang yang sepatutnya. Bukan suruh bini orang yang hanya ikut suami ke sini! Buat benda-benda ni, bukannya ada gaji. Tambah parah kalau banyak perkara yang tidak menyenangkan hati terjadi, lagi merana jadinya.

Entri kali ni macam pentingkan diri sendiri aje bunyinya. Ya lah 'kan, dah hampir empat tahun bersama orang-orang besar ni, banyak yang bengkok dari yang lurus. Banyak yang gemuk dari yang kurus......kolestrol semua! Penyakit yang jika dibiarkan boleh memudaratkan jiwa! Kita ni duduk diam-diam di rumah pun ada juga orang call tanya tentang orang tu, tanya orang ni....rasa tak puas hati tentang dia....tentang si Anu...tentang si polan..... Macamlah aku tahu semuanya!

Kalau aku tahu pun, bukan aku nak cerita! Bukan jenis aku nak melaga-lagakan manusia! Kalau dia orang tahu tentang sesuatu perkara yang berlaku, biarlah....tapi, aku akan pastikan bukan aku sumber medianya! Tak puas hati tak habis sudah! Yang peliknya, pandai pula bermuka-muka. Kalau masa mesyuarat, pijak semut pun tak mati. Seolah-olah tak ada apa-apa yang berlaku! Kalau aku tak suka duduk kat sini pun, mereka inilah salah satu puncanya. Tapi, aku memang rindu kat kampung halaman ku yang cantik tu.....Aku nak balik, aku nak balik!

Friday, August 10, 2007

Selamat tinggal

Minggu ini minggu terakhir kawan baik aku di hutan batu ini. Esok, Sabtu, dia akan berangkat kembali ke Malaysia. Selasa lalu, setelah dua hari syarikat pembungkusan bertungkus-lumus mengemaskan barang-barangnya, dah pun dalam perjalanan ke Malaysia. Aku seperti tidak percaya, kotak hartanya yang terkumpul setelah lebih tiga tahun, penuh serumah!

Rasa sedih sangat bila dia nak balik ni.....Maklum sajalah, tentu saja tak ada lagi orang telefon aku jam 9.00 pagi tiap hari. Tak ada lagi orang yang tanya aku nak masak apa hari ni.....Tak ada lagi orang yang ingatkan aku betapa sedapnya kolo me di batu 7.....Tak ada lagi orang yang nak jadi kawan aku menganyam ketupat yang lemak-lemak masin rasanya...... Aku mesti rindu kat dia lepas ni.

Anak-anak pun sedih mereka nak balik Malaysia. Maklum sajalah, teman sepermainan 'kan! Aku masih ingat lagi kali pertama aku bersua dengan dia. Malam tu, kita anak beranak baru sampai dari Malaysia. Mata merah menyala, badan letih longlai dan anak-anak masa tu pun masih kecil lagi....Betapa kecilnya dunia ini, rupa-rupanya dia junior aku masa sekolah di Kolej Abdillah dulu............. Masa tu, dia tingkatan satu, aku tingkatan enam!

Sedih sangat tengok dia dan empat anak jantannya nak pulang Malaysia! Apa boleh buat, ke mana periuk nasi kita, ke situlah kita pergi..... Semoga maju jaya, hidup bahagia, sayangi anak-anak, jaga suami baik-baik....... Banyak le majlis makan-makan yang dianjurkan oleh teman-teman untuk dia sekeluarga..... Semalam Merak jemput le dia sekeluarga datang makan kat rumah Merak....... Sedih sesangat! Selamat jalan yer...... kenang le masa-masa terindah sepanjang kita bersama membilang hari di hutan batu ini.........

Tuesday, August 7, 2007

Beg tangan

Isnin, Memang hari yang penuh dengan kesibukan. Kalau tuan besar masuk pejabat jam 9.00 pagi, aku dah buka pejabat empat jam lebih awal. Aku buat segalanya pantas dan cepat tapi aku tetap memastikan segalanya tidak menganggu anak-anak yang masih lena.

Tepat jam 10, semuanya sudah beres. Tapi, hari ini kena makan tengahari di rumah Kak Has. Aku dah berjanji untuk menolongnya, mana yang patut. Lalu aku meniti denai simen di sepanjang tebing Sungai timur menuju ke rumah Kak Has.

Tepat jam 1.00, tetamu Kak Has mula tiba. semuanya cantik dan bergaya. Bersalam dan bertanya khabar, macam biasa. Maklum sajalah, sebagai rakyat Malaysia, hidup merantau di negara orang merekalah rakan taulan yang kita ada. Walau apa pun jua gelagat mereka, pandai-pandailah kita menseimbangkannya. Sambil duduk bersembang menunggu kedatangan "dia" aku menumpang dengar perbualan mereka.....

Puan Wa : Huh.... dah berat beg tangan aku ni...... baru tukar duit syiling $10. Nak bagi putus
beg ni hah....

Sambil tu, diangkatnya tinggi-tinggi beg hitam...... Nampak sangat beg tu masih baru dan elok lagi. Semua mata tertumpu ke arah Puan Wa. Semua berminat Puan Wa tayang beg.

Puan Wa : Saja nak bagi putus. Kalau tak putus, mana Encik Y nak bagi beli beg baru untuk kita. Tak adanya......

Puan Da : La.... Kat Macy's tu, tiap minggu ada sale. Garu le belakang Encik Y tu kerap sikit.....
perkena cakar harimau dan labah-labah, ha..... lebih dari beg Coach dibelinya untuk
puan Wa.

Aku gelak dalam hati, Tuhan saja yang tahu! Gara-gara nak dapat beg Coach baru, nak perkena cakar harimau dan labah-labah.......hehehehehehe! Manusia ni memang berbagai ragam.......

Wednesday, August 1, 2007

Belon Engkabang

Di pertengahan tahun 70an adalah 10 tahun pertama kehidupan ku. Di perutnya, terlukis, tertulis dan tercipta puisi hidup yang tidak akan berulang lagi. Puisi itu tetap indah rimanya. Barangkali ia tidak seindah pelangi, namun tetap tidak terungkai nilainya.
Barang kali pohon ara berbuah jingga, tempat punai dan merbah melempiaskan lapar dan dahaga telah lama mati dimamah masa. Namun, walaupun masa berlalu, usia meniti senja, kenangan bersama pohon ara berbuah jingga itu tidak pernah pudar. Daun ara yang agak tebal, bundar tetap berwarna hijau seperti waktu itu. Ranting-ranting kecil pada dahan sebesar pergelangan tangan bertaut pada batang ara yang sebesar paha orang dewasa. Di situlah kenangan itu tercipta. Kenangan aku mengikut abang jerat Punai dan Merbah di pohon Ara berbuah jingga!
Buru-buru kami berlari menuju ke arah rumah papan beratap zink. Mujur pohon ara berbuah jingga itu jaraknya hanya beberapa langkah dari rumah. Menggigil tapi penuh dengan tekad dan kekuatan, kami naik ke rumah. Kelihatan dari udara, kertas-kertas putih melayang-layang, bertaburan, bersepah entah ke mana. Merata jatuhnya. Dengan penuh ketakutan, barangkali perang sudah bermula! Ligat putaran kipasnya.
Aku hanya berharap agar Belon Engkabang yang kelihatan hijau dan besar itu tidak jatuh atas pohon ara berbuah jingga itu! Cukuplah kertas-kertas putih itu saja yang jatuh melayang lalu singgah di mana-mana saja. Pernah aku tanya pada emak kenapa Belon Engkabang itu begitu bodoh menaburkan kertas-kertas putih ke dalam hutan belantara seperti itu. Emak bilang, kertas itu penuh dengan khidmat nasihat. Kertas itu adalah seruan. Kertas itu tujuannya untuk keamanan! Aku tidak faham.
Aku hanya tahu, Belon Engkabang itu, seperti buah Engkabang. Buah Engkabang, kalau jatuh ke bumi, ia berputar ligat seperti kipas angin. Tapi, belon Engkabang tidak jatuh ke bumi walaupun kipasnya berputar ligat. Aku terpegun juga melihat keajaibannya. Tapi, aku tidak pernah bertanya kenapa Belon Engkabang itu tidak jatuh ke bumi seperti buah Engkabang.
Emak selalu kata, Belon Engkabang itu, belon askar! Mereka memburu orang jahat! Musuh negara! Pernah juga kakak bawa aku lari lintang-pukang masa bekukan susu getah tepi sungai. Kakak kata, ada askar bawa senapang. Baju celoreng hijau. Nampak ganas dan menakutkan! Susu getah beku atas meja pengiling belum digiling lagi. Susu getah beku itu perlu digiling supaya rata. Kakak hanya sempat tekupkan tin minyak yang dibelah dua untuk keluarkan susu getah beku. Tapi, kakak lihat askar sedang menyeberang sungai. Kami takut. Takut askar. Nanti askar tembak dengan senapang besi! Kami lari pulang ke rumah setengah mati!
Selalu juga aku dengar, makcik kawan-kawan emak kata, kalau ada askar atau Belon Engkabang terbang membelah ruang angkasa, mesti ada orang jahat. Orang jahat dulu, duduk dalam hutan. Jangan berani jalan seorang diri dalam hutan, nanti kena culik orang jahat! Orang jahat, kita tak boleh buat kawan!
Tapi, sampai hari ini aku tak pernah jumpa orang jahat yang tinggal dalam hutan itu. Sekarang ni pun, tidak ada lagi belon Engkabang menaburkan kertas putih dari udara. Punai dan Merbah pun tak singgah pada dahan pohon ara berbuah jingga lagi. Pohon itu sudah lama kering dan tunggulnya juga sudah tidak ada!
Barang kali abang tidak pernah lupa buat perangkap burung dari getah terap dan lidi kelapa. Kakak juga tak akan lupa cara-cara bekukan susu getah dalam tin roti kering yang dibelah dua. Kalau hari ini aku ikut abang pasang jerat burung atas pohon ara berbuah jingga, tak perlu buru-buru lari lintang-pukang bila tengok Belon Engkabang. Hari ini, Belon Engkabang tidak lagi menabur kertas putih dari udara. Kalau aku ikut kakak bekukan susu getah tepi sungai pun, tidak perlu lari lintang-pukang sebab tidak ada askar baju loreng sandang senapang menyeberang sungai! Sekarang, semuanya sudah aman. Sudah tidak ada orang jahat dalam hutan! 1989, orang jahat telah meletakkan senjata. Aku gembira sebab semua orang jahat dalam hutan sudah jadi baik! Tapi, sekarang orang jahat ada di mana-mana walaupun semua nampak baik!